Thursday, November 14, 2013

Bolehkah Saya Menggunakan Bacalah Anakku Dan Readeasy Untuk Mengajar Orang Dewasa Membaca?

Tentu sekali boleh. Walaupun kedua-dua siri buku  ini ditulis untuk kanak-kanak 3 tahun ke atas, isi kandungannya masih sesuai untuk digunakan untuk orang dewasa.

Saya sendiri dan juga teman-teman saya telah berjaya mengajar pembantu rumah kami - ada yang dari Thailand, ada dari Kemboja - membaca bahasa Melayu dengan menggunakan Kaedah Fonik Bacalah Anakku. 
Ada juga orang Arab yang menelefon kami untuk mengucap terima kasih kerana dia belajar membaca bahasa Melayu dengan Bacalah Anakku. 
Ada juga guru kaunselor dan guru-guru BM sekolah menengah berjaya mengajar pelajar menengah membaca dengan Bacalah Anakku.
 
Hari ini saya berbincang dengan seorang kawan yang terlibat dengan kerja sukarela di Ampang. Dia  akan menggunakan Readeasy Phonics untuk mengajar 4 orang wanita dewasa Rohingya membaca.
Walau bagaimanapun, adalah lebih MUDAH untuk mengajar membaca bahasa Melayu berbanding dengan bahasa Inggeris. Tetapi beliau telah memberi komitmen untuk mengajar mereka bahasa Inggeris.

Cadangan saya:
1. Sekurang-kurangnya guru perlu mempunyai satu set Readeasy Phonics (Beginner, Intermediate & Advanced).

2. Pelajar perlu buku latihan bergaris satu untuk penulisan.

3. Ajar mengikut susunan buku. Tidak perlu mengajar semua bunyi terlebih dahulu. 
Sebagai contoh di dalam buku 1 Readeasy, mula-mula ajar bunyi /k/ untuk 'c', bunyi /a/ untuk 'a' dan bunyi /t/ untuk 't'. Kemudian terus ajar mereka membaca perkataan 'cat' dengan menggabung bunyi (blending) ketiga-tiga bunyi.

4. Ajar bunyi yang dikaitkan dengan simbol/huruf. JANGAN guna nama huruf abc (ei, bi, si ) pada peringkat ini.

5. Minta pelajar menulis bunyi yang dipelajari sebagai contoh " Tulis /k/." Pelajar akan menulis huruf 'c'. 

Pelajar (peserta kursus) di dalam gambar menulis bunyi 'g' di dalam permainan 'Beat the Clock'. 

Bagi pelajar yang tidak tahu menulis langsung, tunjuk bagaimana setiap huruf sepatutnya ditulis (letter formation).
Modelkan kepada pelajar.

6. Setelah mengajar beberapa bunyi, anda akan mengajar pelajar membaca perkataan.  Mulakan dengan mengajar mereka 'oral blending' semua perkataan di dalam Buku 1. Sebagai contoh, perkataan 'cat'. 

Guru: I will say the sounds and you give me the word. Watch my mouth.
          / k - a -t /.           ( Sebut 2,3 kali )

Pelajar : cat

7. Kemudian ajar pelajar membaca perkataan satu demi satu dengan menggabungkan bunyi-bunyi (blending) menggunakan kad-kad huruf

Modelkan gabungan menggunakan kad-kad huruf 4 atau 5 kali pada peringkat awal supaya pelajar memahami konsep membaca adalah dengan menggabung bunyi.




8. Galakkan pelajar membina perkataan yang dipelajari menggunakan kad (kad-kad diberi bersama set buku).


Sebagai contoh berikan mereka kad-kad huruf c,a,b, t, o (bunyi-bunyi di dalam buku 1).
Guru: I want you to make the word 'cat', 'cat'. ( ulang sebut beberapa kali)


Bimbing pelajar menyusun kad-kad dengan betul menggunakan carta poket mini. Pelajar boleh juga melakukan aktiviti ini di atas meja.
Ulangi langkah untuk perkataan-perkataan lain.

9. Ajar mereka mengeja perkataan.
Guru: Spell 'cat', 'cat'.
Pelajar: /k - a - t/.            (Tanpa melihat perkataan.)
Ulangi langkah untuk perkataan-perkataan lain.

10. Ajar mereka menulis perkataan dan kemudian ayat-ayat.
Guru: Please write 'cat', 'cat'. 



Gambar ihsan daripada Tadika Iman Cemerlang, Taman Karak Utama milik Pn Nuridah. Hubungi beliau di Facebook Iman Readers.

11. Galakkan pelajar membaca perkataan yang ditulis.

12. Untuk melihat peningkatan dalam pelajaran, ajarlah  membaca 2 atau 3 kali seminggu, selang sehari dua.  Mengajar mereka setiap hari adalah yang terbaik. Membaca adalah kemahiran kompleks samada untuk kanak-kanak mahupun orang dewasa. Oleh itu mereka perlu kontek berterusan dengan pembelajaran.

Semoga berjaya cikgu! 

No comments: