Saturday, December 22, 2007

Ajar Anak Membaca Awal(8)


Apa Yang Saya Lakukan Semasa Bayi Berumur 0 hingga 3 Bulan
1. Usap, Peluk & C
ium Bayi

Saya banyak mencurahkan kasih sayang saya melalui pelukan, ciuman dan usapan. Menurut neurosaintis, sentuhan, usapan dan ciuman ibu bapa akan merangsang otak bayi untuk mengeluarkan horman yang membantu perkembangan & pertumbuhan bayi . Kasih sayang yang anda curahkan juga akan membantu pertumbuhan dendrait bayi anda.


Usaplah badan bayi anda menggunakan paf bedak atau kapas dan pelbagai fabrik (satin, sifon, baldu, dll) daripada kepala ke kaki. Usapan daripada kepala ke kaki membantu pembentukan myelin pada neuron dan dendrait. Pembentukan myelin membolehkan rangsangan yang diterima dendrait dihantar ke otak dengan lebih cepat. Menurut Dr Susan Ludington-Hoe, ia juga membantu pengawalan koordinasi anggota badan dan perkembangan otot.

Menurut Tony Buzan, enulis buku 'Brain Child' , kasih sayang adalah 'makanan otak'(brain food) anak anda. Hal ini bermakna bayi anda amat memerlukan kasih sayang untuk menjadi anak yang pintar. Jangan sesekali risau anda terlalu manjakan(spoil) bayi anda pada tahap ini.


Friday, December 21, 2007

Ajar Anak Membaca Awal(7)

Bayi Semasa Dilahirkan

Semasa dilahirkan, otak bayi mengandungi 100 billion sel otak yang dikenali sebagai neuron. Setiap neuron diihubungi oleh axon yang mempunyai beratus ribu dendrait. Dendrait merupakan bahagian neuron yang menerima rangsangan. Rangsangan yang berulang mengukuhkan jaringan dendrait(synapses) ibarat jaringan elektrik dan menjadinya kekal. Lebih banyak rangsangan yang kita ibu bapa berikan kepada bayi, lebih banyak jaringan synapses yang terbentuk. Lebih banyak jaringan synapses, lebih cerdik bayi anda.

Oleh sebab itu, rangsangan dalam kandungan dan pada tahun pertama adalah sangat penting dan menjadi titik penentu pertumbuhan dan perkembangan otak yang maksimum.

Thursday, December 20, 2007

Ajar Anak Membaca Awal(6)

Apa Yang Saya Lakukan Semasa Mengandung
7. Bacakan Pantun & Buku Cerita Kanak-kanak

Bacakan pantun, buku cerita kanak-kanak atau cerita-cerita nabi dan cerita-cerita di dalam Al Quran dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan pelbagai nada suara dan intonasi.

Kajian oleh
Dr Anthony DeCasper daripada University of North Carolina. melaporkan bayi dalam kandungan lebih menggemari mendengar suara ibunya membacakan buku cerita berbanding dengan suara wanita lain. Yang lebih menakjubkan, sebagaimana Dr Hajime Murooka, Dr DeCasper mandapati bayi dapat mengingat kembali apa yang didengarnya semasa dalam kandungan dan suka mendengar cerita yang sama berulang kali setelah dilahirkan.

8. Bercerita

Ceritakan apa saja yang sedang anda lakukan sepanjang hari kepada bayi dalam kandungan. Amalan ini akan mengukuhkan ikatan kasih(bond) anda dengan anak.

Kesimpulan
Menurut kajian yang dipelopori oleh Dr Arnold Gisell daripada Yale University semenjak tahun 1940, bayi yang telah dirangsang semasa dalam kandungan menunjukkan perkembangan visual(penglihatan), auditori(pendengaran), linguistik(bahasa) dan motor(pergerakan) yang lebih baik serta mempunyai tahap kecerdasan(IQ) yang lebih tinggi. Bayi-bayi ini juga akan tidur dengan lebih baik, lebih peka kepada persekitaran, lebih yakin dan tenang serta mudah disusui.

Oleh itu jangan anda lepas PELUANG untuk merangsang bayi anda semasa dalam kandungan. Pastikan amalan di atas dilakukan dengan penuh kasih sayang dan bukan dalam keadaan memaksa yang akan membawa stres kepada anda dan bayi.



Sunday, September 9, 2007

Ajar Anak Baca Awal (5)

Apa Yang Saya Lakukan Semasa Mengandung
5. Perdengarkan Lagu-lagu Klasik

Perdengarlah lagu-lagu klasik kepada bayi dalam kandungan. Kajian menunjukkan 'beat' lagu klasik sama dengan denyutan jantung yang sedang berehat.

6. Nyanyikan atau Perdengarkan Lagu Kanak-kanak
Nyanyikan lagu kanak-kanak seperti Pok Amai Amai
atau lagu-lagu dalam koleksi 'Dodoi Anakku Dodoi' dan lagu fonik 'Abu Ada Ayam'.

Lagu-lagu yang diperdengarkan semasa bayi dalam kandungan dapat membantu menenangkan bayi apabila diperdengarkan semula setelah dilahirkan kerana menurut kajian oleh Dr Hajime Murooka, bayi dapat mengingat semula apa yang didengari semasa dalam kandungan.



Saturday, September 8, 2007

Ajar Anak Baca Awal (4)

Apa Yang Saya Lakukan Semasa Mengandung
4. Berdoa Selepas Solat

Berdoalah untuk kesejahteraan dan kebaikan anda dan bayi di dunia dan akhirat.

"Rabbi habli min ladunka dzuriyyatan thoyyibatan. Innaka samii 'uddu'aa."

Maksudnya:
"Ya Tuhanku, kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat yang baik sempurna. Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar & menerima rayuan & doa hambaMu."
(Surah Ali Imran: 36)

Sebagai ibu bapa Muslim mendidik anak menjadi anak yang soleh adalah amat penting kerana doa anak soleh akan menjadi penyambung amalan setelah ibu bapa meninggal dunia.

Sabda Rasulullah saw maksudnya
"Apabila mati seseorang itu, terputuslah amalannya, kecuali 3 perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan orang lain & anak yang soleh yang sentiasa mendoakan untuk kedua ibu bapa mereka."

Selain doa di atas saya mengamalkan doa "Ya Allah, peliharalah anakku selama di dalam kandunganku & sembuhlah segala penyakit. Sesungguhnya Engkau Maha Penyembuh. Ya Allah, mudahkan kelahiran anakku. Ya Allah, jadikanlah anakku ini sihat, cerdik & pandai, berilmu & beramal soleh, elokkanlah akhlak & tutur katanya & merdukanlah suaranya untuk membaca Al Quran dengan berkat Nabi Muhammad saw."

Lain-lain Doa/Zikir:
"Laa ila hailla anta. Subhanaka innikuntumminazzolimin "
Maksudnya:
"Sesungguhnya tiada Tuhan melain Engkau. Sesungguhnya aku adalah termasuk orang yang sentiasa menzalimi diri."
(Surah Al Anbiya: 87)

Tuesday, August 28, 2007

Ajar Anak Baca Awal (3)


Apa Yang Saya Lakukan Semasa Mengandung
3. Belai Bayi Dalam Kandungan
Belailah bayi dalam kandungan dengan mengusap daripada bawah perut ke pusat bermula 13 hingga 27 minggu. Daripada kepala ke jari kaki daripada 28 minggu. Usapan sebegini akan membantu perkembangan saraf-otot bayi.

Bercakap-cakap dan bisikkan harapan kita kepada bayi dalam kandungan dengan penuh kasih sayang. Belaian sebegini merupakan rangsangan yang akan membantu pembentukan jaringan di antara sel-sel otak (jaringan synapses). Lebih banyak jaringan maka lebih cerdiklah bayi kita. Amalan ini amat penting terutamanya setelah bayi yang dikandung berumur 8 bulan.

Rangsangan-rangsangan daripada kita, ibu, terutama pada bulan-bula terakhir akan memberi kesan kepada saiz otak dan tahap kecerdasan bayi yang masih dikandung.



Monday, August 27, 2007

Ajar Anak Baca Awal (2)

Apa Yang Saya Lakukan Semasa Mengandung
2. Pemakanan Ibu

Menurut kajian sains, penghasilan sel otak(neuron) bermula daripada persenyawaan sehingga kandungan berumur 10 minggu pada kadar yang begitu pesat. Sepanjang masa ini, otak fetus menghasilkan 250,000 neuron setiap minit. Apabila kandungan berumur 20 minggu, lebih 200 billion neurons telah dihasilkan. Selepas kandungan berumur 5 bulan tiada lagi sel otak yang baru dihasilkan walau pun satu sel. Ini adalah peringkat pertama pertumbuhan otak. Protin membantu pertumbuhan sel & pembentukan darah. Oleh itu penting untuk kita mengamalkan pemakanan yang kaya dengan protin untuk membantu penghasilan sel otak yang pesat. Ibu mengandung juga perlu minum banyak air untuk membantu buah pinggang memproses pengambilan protin yg tinggi. Selain protin, ibu mengandung perlu mengambil pengambilan zat makanan yang lain seperti karbohidrat, lemak & garam galian.

Kajian sains ada menyebut, kurang zat makanan(malnutrition) oleh ibu mengandung bermula 6 bulan terakhir menyebabkan bayi yang dilahirkan mengalami masalah koordinasi motor(pergerakan). Bayi ini berkemungkinan menjadi anak yang ‘kekok’(clumsy).

Pemakanan ibu mengandung yang seimbang akan membentuk janin yang sihat. Janin yang sihat akan bertindak balas kepada ransangan dengan baik semasa dalam kandungan dan setelah dilahirkan.

JAUHI sama sekali ROKOK & ALKOHOL.

Universiti Columbia menunjukkan merokok kelas kedua(secondhand smoking) boleh menyebabkan bayi lahir pramatang dan /atau mengalami berat badan yang rendah, masalah pernafasan dan terdedah kepada risiko Sindrom Kematian Bayi Mengejut(Sudden Infant Death Syndrome, SIDS). Apatah lagi sekiranya ibu yang mengandung merokok. Bayi anda akan kelemasan! Sebagaimana dilaporkan oleh jurnal ‘Drug and Alcohol Review’, amalan ibu mengandung yang merokok 2 kotak sehari akan mengurangkan oksigen untuk janin sebanyak 60%.

Jagalah pemakanan anda untuk memastikan bayi yang bakal lahir pintar & dapat membaca awal!





Sunday, August 26, 2007

Ajar Anak Baca Awal (1)

Apa Yang Saya Lakukan Semasa Mengandung
1.Perdengarkan Ayat -Ayat Suci Al Quran & Zikir


Sebagai seorang ibu Muslim, saya mengamalkan membaca ayat-ayat suci Al Quran. Para cendikiawan Islam menggalakkan ibu-ibu mengandung membaca surah-surah seperti Al Fatihah, At Taubah, Yusuf, Maryam dan Luqman.


Saya masih teringat semasa saya mengandung anak pertama ‘A-ishah di Kanada pada tahun 1985, usia saya 20 tahun. Saya baru saja mula belajar membaca Al Quran. Saya berhenti mempelajari Al Quran semasa saya berumur 13 tahun dan pada masa itu saya hanya tahu membaca beberapa surah dalam Juzuk Amma sahaja. Malah pada masa itu saya tidak celik Al Quran. Surah yang saya hafal hanyalah Al Fatihah, dan Al Ikhlas. Tetapi saya yakin, anak yang saya kandung perlu diperdengarkan ayat-ayat suci Allah. Alhamdulillah pada masa itu saya telah mula mempelajari Al Quran semula. Saya akan mendisiplinkan diri untuk membaca 4 atau 5 ayat setiap kali selepas solat. Saya juga banyak membaca surah-surah mudah dalam Juzuk Amma. Menurut Al Quran , Surah As Sajadah; 6 – 9, Allah meniupkan roh pada umur kandungan 4 bulan. Walau bagaimana pun, saya tidak menunggu sehingga bayi yang saya kandung berumur 4 bulan untuk saya mula membaca Al Quran. Mulalah seawal mungkin untuk kesejahteraan diri sendiri yang berkait rapat dengan kesejahteraan bayi yang dikandung.

Berzikir seperti Subhanallah walhamdulillah wala ilahailallah wallahuakbar dengan suara yang merdu.

Selain ibu, bapa juga digalakkan melakukan amalan di atas.

Sekiranya anda tidak fasih membaca Al Quran, perdengarkan ayat-ayat suci dan zikir melalui kaset atau cd.

Kenapa Perlu Ajar Anak Membaca Awal?



Saya ingin berkongsi pengalaman yang menjadi titik tolak kepada semangat saya mengajar anak membaca awal. Peristiwa ini berlaku di Kanada pada tahun1984. Pada suatu hari ketika mengandung anak pertama, saya menaiki bas ke pusat membeli-belah. Di dalam perjalanan, bas itu berhenti untuk mengambil seorang nenek dan cucunya yang berumur lebih kurang 3 tahun. Mereka baru kembali dari perpustakaan. Anak kecil itu membawa dua tiga buah buku di tangannya dan asyik berbual dengan neneknya mengenai lawatan mereka ke perpustakaan. Saya berfikir, jarang sekali saya melihat seorang nenek membawa cucu ke perpustakaan sepanjang saya membesar di Malaysia. Malah saya berani untuk menyatakan saya tidak pernah melihat seorang nenek membawa cucu ke perpustakaan di Kota Bharu daripada tahun 1963 – 1981! Tetapi banyak nenek di Kota Bharu membawa cucu mereka ke kedai-kedai emas. Don’t get me wrong, I’m not saying buying gold for grandchildren is bad investment! Tetapi di negara-negara maju, kita akan dapat melihat budaya membaca di merata tempat – di perhentian tren dan bas, di dalam tren dan bas, tua dan muda asyik membaca sambil menunggu.


Jadi saya yakin dan percaya, untuk mewujudkan masyarakat membaca, kita seharusnya memupuk minat membaca daripada awal – seawal anak dalam kandungan. Di Malaysia sebelum dua tiga tahun yang terakhir ini, banyak ibu bapa dan guru berpendapat, anak patut diajar membaca apabila berumur 7 tahun atau ketika di Tahun 1. Bagi saya this is a little bit too late. Tahukah kita by 6 years old , 95% daripada perkembangan otak telah terbentuk. Mengikut Dr Glen Doman, umur yang paling baik untuk anak diajar membaca adalah 3 hingga 5 tahun. Menurut para neurolinguist, kanak-kanak 5 tahun mampu mempelajari 7 bahasa sekali gus!

Sebagai kesimpulan, tidak salah untuk kita mengajar anak membaca awal selagi kita mengambil kira bahan dan teknik yang sesuai dengan perkembangan anak pada masa itu. Apatah lagi, semenjak tahun 2002 , matematik dan sains diajar dalam Bahasa Inggeris! Bagaimanakah masa depan anak kita di sekolah sekiranya tidak dapat membaca BUKAN sahaja Bahasa Inggeris tetapi Bahasa Melayu apabila berumur 7 tahun? Tambahan pula anak yang dapat membaca awal lebih banyak pengetahuan, lebih yakin dan lebih terkehadapan. Jangan lepas peluang ini.

Mulalah mengajar anak anda membaca awal.

Saturday, August 25, 2007

Jom Berkenalan




Nama: Nik Eliani Nik Nawi
Nama suami: Othman Ahamad (Penulis Bersama Bacalah Anakku & Read Easy)

Saya merupakan ibu kepada 4 orang puteri dan 2 orang putera. 'A-ishah (22), Abdul Adzim (20), Athirah (18), Amalia (16), Amirah (11) & Amir Haziq (5).

Dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan, 43 tahun yang lalu.

Berkelulusan Bachelor of Arts (Economics), Brock University, Canada(1985);
Diploma In Education (English), International Islamic University(1990).

Sebelum saya terlibat fulltime dengan Bacalah Anakku, saya adalah guru Bahasa Inggeris di sekolah menengah (1988 - 1997).

Sekarang Perunding Kanan Readnetwork Sdn Bhd.

Saya juga merupakan Pereka BrighterKids CreativePlay Curriculum yang digunakan di Little Aulad Playschool ( 1997 -) & Rangkaian Taska Tadika TNB Malaysia (2005 - sekarang)

Berpengalaman mengendalikan Kursus Cepat Membaca Bacalah Anakku(B. Melayu), Kursus Cepat Membaca Read Easy (B.Inggeris), Kursus Hands-On Preschool Math, Kursus Keibu Bapaan & Kursus Asuhan.

Friday, August 24, 2007

Hi everyone..

Welcome to my blog...this time i ll try to update it regularly...not like the previous one..i even lost the password to my blog...