Wednesday, April 30, 2008

Ajar Anak Membaca Awal(13)

Apa Yang Saya Lakukan Semasa Bayi Berumur 3 - 6 Bulan

Pada peringkat ini, saya masih teruskan amalan-amalan semasa bayi saya berumur 0-3 bulan. Apabila menjangkau umur 3 bulan, penglihatan bayi bertambah baik.

8. Menggantung Moblie Berwarna Terang
Tukarkan mobile hitam-putih kepada mobile berwarna-warni. Pada tahap umur ini bayi lebih peka kepada warn
a terang daripada warna pastel. Bayi juga boleh melihat objek dengan menggerakkan kepalanya.
Anda juga boleh menggantungkan mobile merentasi katil bayi menggunakan tali elastik untuk menggalakkan bayi anda melibat(swipe) & menarik mobile. Mobile elastik ini akan merangsang perkembangan fizikal bayi anda. Apabila bayi pandai menarik mobile, berlaku perkembangan motor halus(koordinasi mata & tangan) yang akan membantu anak anda belajar membaca nanti.

9. Menggenggam Pelbagai Objek

Tunjukkan pelbagai objek menarik yang berwarna-warni & berbunyi seperti kerincing(rattle), mainan lembut(soft toys), mainan picit(squeeze toys) dan mainan/gegelang getah untuk menggalak bayi mencapai & menggenggam objek tersebut. Kemahiran menggenggam akan membantu anak anda menulis nanti.




Tuesday, April 29, 2008

Ajar Anak Membaca Awal(12)

Apa Yang Saya Lakukan Semasa Bayi Berumur 0 - 3 Bulan

7. Senaman Otak
Selepas saya mandikan bayi, saya gemar melakukan senaman otak(brain Gym) dengan menggerakkan anggota tangan dan kaki bayi saya secara bersilang. Saya membilang 1, 2, 3... sambil melakukan senaman ini. Menurut Dr Paul Dennison, pengasas Brain Gym, pergerakan sebegini akan mengkoordinasikan otak kanak dan kiri bayi. Dengan itu bayi dapat berkembang sebaiknya apabila kedua-dua otak berfungsi bersama(whole brain functioning).

Menurut Dr Carla Hannaford, senaman sebegini akan membantu anak anda belajar membaca, menulis, mengeja dan memahami karangan nanti.

Saturday, April 26, 2008

Ajar Anak Membaca Awal (11)

Apa Yang Saya Lakukan Semasa Bayi Berumur 0 - 3 Bulan

4. Menggantung Mobile
Gantungkan 'mobile' hitam-putih, 25cm(10 inci) daripada mata bayi. Ia akan merangsang penglihatan bayi anda.


Kajian daripada Dr Robert Fanzt, Dr T.G.R Bower dan Dr Philip Salapatek membuktikan bayi yang baru lahir lebih gemar memerhatikan bentuk geometri hitam- putih daripada gambar berwarna terang mau pun pastel.

5. Mengimbas Kad / Objek Hitam-Putih
Peluk bayi erat di pangkuan sambil menamakan objek hitam-putih di dalam buku atau kad imbas. Aktiviti ini akan merangsang penglihatan dan pendengaran bayi anda.

Letakkan kad atau objek hitam-putih di tengah penglihatan bayi pada jarak 25cm daripada matanya. Gerakkan 6 inci ke kanan. Berhenti. Gerakkan kad kembali ke tengah. Berhenti. Gerakkan 6 inci ke kiri dan berhenti.

Saya hanya berpeluang melakukan aktiviti ini pada anak keenam. Saya mencuba rangsangan hitam-putih ini ketika dia berumur 7 hari. Saya cukup teruja melihat matanya mengikut pergerakan gambar ke kanan dan ke kiri. Dan hari ini Amir memang cekap kemahiran motornya. Menendang bola pada umur setahun dan amat gemar bermain 'mengikat tali' semenjak umur 1 1/2 tahun lagi.

6. Bernyanyi & Menari
Nyanyikan lagu kanak-kanak dengan nada suara yang berbeza-beza. Menari, dodoi atau gerakkan badan bayi sambil menyanyi. Menyanyi juga membantu meningkatkan kecerdasan bahasa anak anda.

Mendodoi bayi perlahan-lahan ke atas ke bawah dan ke kiri ke kanan, akan merangsang sistem vestibular yang mengawal koordinasi dan keseimbangan. menurut kajian mendodoi sebegini membantu perkembangan penglihatan dan pendengaran bayi, membantu bayi tidur dengan lebih nyenyak dan membantu pertambahan berat badan.

Anda juga boleh mendukung bayi sambil berpusing perlahan-lahan.







Friday, April 25, 2008

Ajar Anak Membaca Awal (10)

Apa Yang Saya Lakukan Semasa Bayi Berumur 0 - 3 Bulan
3. Berbual-bual

Menurut kajian terkini, banyak mana anda berbual-bual dengan bayi anda akan mempengaruhi IQ dan kejayaannya nanti. Semasa saya mendapat anak pertama dan kedua, saya tidak pandai berbual dengan bayi. Tetapi setelah menyedari betapa pentingnya kita perlu berbual dengan bayi, saya mula melatih diri saya.
a. Saya menceritakan kepada bayi apa saja yang sedang saya lakukan seperti 'mama sedang kemas katil. Katil Mama besar daripada katil baby...".
b. Sambil saya mandikan bayi, saya akan memberitahunya "Mama bersihkan mata baby dulu. Sekarang mama bersih telinga baby pula. Sekarang mama nak syampu rambut baby pula. Hmm wanginya syampu...".
c. Saya juga menanya soalan "Mana mata baby mama?" dan menamakan objek di sekeliling "Ini buku. Ini bola...".

Jangan lupa menggunakan pelbagai intonasi & nada suara apabila berbual dengan bayi. Ia akan menarik tumpuan bayi anda.

Berbual-bual dengan bayi sebegini akan menambah kecerdasan bahasanya. Anak akan terdedah dengan perbendaharaan kata yang luas dan ini akan membantunya memahami perkataan, bertutur, membaca dan menulis nanti.

Menurut kajian terkini, anak sehingga umur 3 tahun perlu mendengar 17000 hingga 20000 perkataan sehari!

Becoklah mulut mama dan papa semuanya!




Ajar Anak Membaca Awal (9)

Apa Yang Saya Lakukan Semasa Bayi Berumur 0 - 3 Bulan

2. Menyusu
Susu ibu adalah makanan terbaik bayi anda. Ia mengandungi semua bahan berkhasiat seperti protin, karbohidarat, lemak, vitamin, mineral dan air. Kolustrum yang dihasilkan pada beberapa hari pertama akan membekalkan antibodi untuk bayi anda melawan penyakit. Pada tahun 2007 saya dan 5 orang anak saya diserang denggi. Saya, anak saya yang ketiga dan kelima,Athirah & Amirah dimasukkan ke wad kerana 'platelet' kurang daripada 100. Tetapi anak yang lain, Amalia, Abdul Adzim & Amir Haziq dapat bertahan dan 'platelet' mereka tidak turun ke bawah 100. Ketiga-tiga anak ini saya menyusu selama 2 tahun! Susu ibu sebenarnya anugerah Allah. Kajian menunjukkan susu ibu mengandungi lemak DHA yang amat penting dalam membantu pertumbuhan & perkembangan tisu otak. Susu ibu juga mengandungi 'taurine' yang membantu perkembangan otak & saraf.

Menurut Tony Buzan, selain daripada kasih sayang, makanan yang berzat adalah juga makanan otak(brain food) anak anda. Sehingga anak anda berumur 2 tahun, susu ibu merupakan makanan yang terbaik untuknya. Jadi jangan lepas peluang menyusu bayi anda sehingga dia berumur 2 tahun.