Tahap 1: Contengan bebas ( 15-22 bulan )
Pada tahap ini kanak-kanak bebas menconteng menggunakan alat tulis seperti krayon, berus cat, pensel dan pen warna. Mereka juga boleh menggunakan jari mereka untuk menconteng ( finger painting ). Pada tahap ini kanak-kanak belum dapat mengawal penulisan mereka. Mereka hanya mampu membuat 'tanda' ( marks ) pada kertas. Kebanyakan mereka menggenggam alat tulis. Contengan yang dihasilkan adalah daripada pergerakan besar daripada bahu. Berilah mereka peluang untuk meneroka pelbagai alat tulis.
Tahap 2: Contengan Terkawal ( 2 - 3 tahun )
Apabila kanak-kanak dapat mengawal otot-otot tangan dan jari mereka dengan lebih baik, contengan mereka akan lebih bermakna. Mereka mampu membuat garisan menegak, mendatar, condong dan bulatan yang terbuka
( open circles ). Kanak-kanak pada tahap ini dapat mengulangi contengan yang sama. Pada tahap ini juga kanak-kanak akan mula memegang alat tulis dengan pegangan tripod
( menggunakan ibu jari dan jari telunjuk ).
Tahap 3: Garisan & Bentuk ( 2 1/2 - 3 1/2 tahun )
Pada tahap ini kanak-kanak mula memahami mereka dapat menulis dengan membuat pelbagai bentuk garisan dan lengkungan. Mereka akan mula cuba menulis 'huruf' dan 'perkataan'. Pada tahap ini mereka akan mula memahami apa yang mereka tulis membawa makna.
Pastikan anda melatih anak menulis huruf dengan betul
( correct letter formation ) samada menggunakan alat tulis atau pun dengan jari ( finger painting & menyentuh huruf pasir ). Galakkan juga anak mencerita apa yang dilukis bagi merangsang perkembangan bahasanya. Ini adalah tahap awal latihan menulis karangan, iaitu melalui lukisan.
Tahap 4: Lukisan Objek & Orang ( 3 - 5 tahun )
Pada peringkat awal kanak-kanak akan melukis dahulu dan melabelkan lukisan mereka kemudian. Mereka tidak merancang apa yang ingin dilukis.
Kemudian mereka akan mula merancang apa yang akan mereka lukis. Mereka mula melukis dengan lebih terperinci. Mereka dapat mengawal alat tulis dengan lebih baik. Mereka juga pandai menggunakan warna-warna. Pada tahap ini kanak-kanak mula memahami penulisan simbolik. Mereka juga sudah dapat membezakan di antara penulisan dan lukisan. Anda akan melihat anak anda melukis gambar dan kemudian menulis sesuatu pada gambar. Sekiranya anda pupuk kemahiran ini, anak anda akan lebih mahir menulis cerita pada hasil lukisannya - bakal 'penulis' hebat suatu hari nanti.
No comments:
Post a Comment