Friday, November 29, 2013

Senaman Untuk Mudah Menulis

Aktiviti menulis bukanlah mudah untuk kanak-kanak. 
Lakukan SENAMAN untuk kanak-kanak mudah menulis:
1. Senaman kuat kan tulang belakang.
2. Senaman kuatkan otot bahu.
3. Senaman kuatkan lengan, tangan dan pergelangan tangan.
4. Senaman kuatkan jari-jemari.
5. Aktiviti koordinasi mata-tangan.

Memanjat, menggayut, menghayun akan menguatkan tukang belakang dan membina otot bahagian atas badan, yang amat penting apabila menulis.

Memulas, memusing, menggayut dan menghayun juga membina otot bahu, siku, pergelangan tangan dan jari yang kuat dan fleksibel.

Aktiviti menolak, menarik objek dan mengangkat badan sendiri pula akan memberi kanak-kanak kefahaman mengenai berat dan tekanan.

     Main tolak.


Di antara aktiviti yang dicadangkan ialah bermain di 'monkey bar', berjalan seperti ketam dan kereta sorong.
        Monkey bars.

     Berjalan ketam.

     Berjalan kereta sorong.


Aktiviti manipulatif juga penting utk kanak-kanak 2-3 tahun sebelum mereka dibimbing memegang pensel dengan 'tripod hold'.
- main doh; uli, picit, ramas, golek, gentel
-menguntai manik
- mengoyak kertas 
- merenyok cebisan kertas
- main dengan pengepit baju ( clothes pegs)

Aktiviti-aktiviti ini menguatkan otot tangan dan jari-jemari untuk memudahkan kanak-kanak memegang pensel nanti.
Bimbing anak untuk melakukan senaman di atas secara konsisten.

Thursday, November 28, 2013

Mana Lebih Penting, Membaca atau Menulis?

Bagi saya membaca dan menulis SAMA PENTING. Apabila kita ajar anak membaca kita seharusnya mengajar menulis pada masa yang sama. Kajian di luar negara oleh Laura Dinehart,  membuktikan kanak-kanak 4 tahun yang MENULIS dengan baik lebih CEMERLANG akademik di SEKOLAH RENDAH nanti.

Awal Penulisan 3- 5 tahun:
1. Apabila mengajar anak bunyi huruf, pastikan anda mengajarnya 'MENULIS' huruf sebagaimana huruf itu ditulis.

Menulis untuk anak kecil tidak semestinya dengan pensel di atas kertas. Aktiviti yang disenaraikan di bawah juga menulis.
- Menyentuh huruf berpasir.
- Membentuk huruf dengan plastisin / playdough.
- Menulis dengan jari di atas pasir / garam.
- Menulis dengan jari menggunakan cat air.
- Menulis dengan kapur basah di atas kertas hitam (sugar paper).
- Menulis di atas angin menggunakan pergerakan besar menggunakan seluruh lengan bukan menggerakkan jari sahaja ( pastikan anak sudah tahu menulis huruf tersebut dengan cara yang betul sebelum melakukan aktiviti ini). 

2. Memegang pensel.

Lekatkat pensel dengan pita pelekat.


Latih anak:
- pegang pensel pada bahagian yang dilekatkan pita.
- Flipkan pensel.
- Letakkan jari tengah di bawah pensel.





Saya cadang di tadika bermula di tahap 5 tahun, adakan masa khas untuk penulisan. Beri sijil khas atau hadiah untuk pelajar secara berkala untuk menggalakkan mereka menulis cantik. Pamerkan hasil tulisan mereka. Saya juga suka sangat kalau guru-guru Tahun 1 dan 2 menyambung usaha ini. Zaman dulu ada kelas khas untuk penulisan (penmanship). Di luar negara ada sesetengah sekolah rendah menubuhkan Kelab Penulisan (The Writing Club). Bahkan ada pertandingan tulisan cantik di peringkat nasional. Jom kita mulakan di sekolah kita!


Tuesday, November 26, 2013

BACALAH ANAKKU & READEASY PHONICS = Whole - brain learning

Kanak- kanak mempelajari sesuatu melalui kesemua pancaindera mereka. Sekiranya tangan mereka sibuk, maka minda mereka pun sibuk.
Sibuk-sibukkanlah kanak-kanak apabila anda mengajar mereka membaca.

       Finger painting 'm'.

Pendekatan 'whole-brain learning' di dalam pengajaran Bacalah Anakku & Readeasy:
1. Ajarlah bunyi-bunyi huruf dengan mengaitkan setiap bunyi dengan satu aksi yang relevan ( Rujuk Buku Panduan Bacalah Anakku, ms 5).
Sebagai contoh bunyi 'n', /nn/, dikaitkan dengan memandu kereta lumba. Kanak-kanak beraksi memandu kereta lumba sambil membuat bunyi /nnnnnnnn/.

Untuk bahasa Inggeris, kaitkan setiap bunyi dengan aksi di dalam lagu fonik Cory Cat.

2. Ajarlah bentuk dan rupa huruf menggunakan pelbagai deria (multi sensory) bukan dengan menggunakan buku atau kad imbas sahaja. Beri kanak-kanak peluang membuat bentuk huruf dengan doh, menyentuh huruf berpasir, membuat kolaj dan menulis dengan jari mengguna cat air (finger painting).

3. Ajarlah membaca dengan memberi mereka kad-kad huruf untuk digabung bunyi (Rujuk Lihat & Buat, Dengar & Buat di dalam buku Permainan Kreatif). Latih mereka untuk mengajar kawan mereka apa yang mereka pelajari (macam main cikgu-cikgu). Galakkan mereka menulis apa yang mereka baca, suku kata, perkataan dan ayat mudah.

4. Ajarlah mereka mengeja dengan mengerakkan anggota badan sambil mengeja setiap bunyi. Saya cadangkan anda membimbing kanak-kanak menggunakan Kad Eja untuk mengeja perkataan dan/atau melakukan aktiviti Spell Tap dan Spell Chop seperti yang dikongsi di dalam Kursus Intensif Bacalah Anakku dan Readeasy.

Apabila kanak-kanak mempelajari sesuatu dengan menggabungkan aktiviti mendengar, melihat, menyebut dan menulis, pelbagai bahagian di dalam otak akan dirangsang. Menurut Judy Dodge, penulis 25 Quick Formative Assessments for a Differentiated Classroom (Scholastic, 2009),  "The more parts of your brain you use, the more likely you are to retain information."

Kesimpulannya, dengan mempelbagaikan aktiviti pembelajaran, anak akan mudah ingat apa yang dipelajari.

Sunday, November 24, 2013

Kursus Intensif Bacalah Anakku, Kuala Lumpur, 23 November

Kursus Bacalah Anakku kali ni ada kelainan kerana kehadiran Adik Mimi, 4 tahun, yang menemani ibunya Puan Siti, menimba ilmu. Puan Siti belum lagi bermula mengajar Adik Mimi membaca. Cukup teruja kami dan juga para peserta melihat Mimi memberi reaksi yang positif kepada aktiviti yang kami buat bersama peserta. Memang terbukti LIVE tips pengajaran yang kami kongsi sangat efektif.





Jom sertai kursus-kursus kami di seluruh Malaysia. Saya, Nik Eliani, Penulis Bacalah Anakku Readeasy dan suami saya, Othman Ahamad serta Team Konsultan Readnetwork akan me latih anda menjadi guru dan ibu bapa yang hebat mengajar anak membaca dan menulis. 


Jangan lepas peluang Disember ini!








Thursday, November 21, 2013

SILAP 'WIRING'?

Ibu bapa mesti bijak memilih cara yang terbaik untuk mengajar anak membaca daripada awal. Cara yang salah akan membawa kepada pendawaian sel otak yang salah ( untuk mempelajari membaca). Hal ini menyebabkan anak susah mendapat kemahiran membaca dan menulis di masa hadapan. Bagi sesetengah anak, pendawaian yang salah ini mengganggunya untuk jangka masa yang panjang.

Banyak guru dan ibu bapa bertanya, bolehkah anak yang lambat membaca kerana belajar membaca menggunakan kaedah mengeja, di 'convert' menggunakan kaedah fonik Bacalah Anakku?
Boleh, tetapi memakan masa. 
Kenapa? Sebab dah silap wiring.
Mereka sudah TEGAR membaca dengan membatang perkataan dan mengeja-ngeja.

Akibat SILAP WIRING:
 Si anak membaca merangkak-rangkak kerana menggunakan kaedah mengeja. Si ibu pergi kursus fonik dengan harapan balik nanti nak ajar anak membaca dengan kaedah fonik supaya lebih lancar. Seminggu Si ibu mengajar, Si anak masih juga nak mengeja-ngeja. Terkumat-kamit mulut duk mengeja dalam hati... Si ibu kecewa.... Inilah scenario kalau 'silap wiring' sel otak untuk membaca.

Tuesday, November 19, 2013

Kajian Saintis Bagaimana Otak Membaca


Telah dibuktikan oleh saintis di Yale University, USA,  bahawa otak membaca dengan memecahkan perkataan kepada bunyi-bunyi.

Apabila kita mendekod(decode) perkataan dengan betul, 3 bahagian yang berbeza di dalam otak diaktifkan secara urutan.

1. Apabila mata melihat setiap huruf di dalam perkataan, sebagai contoh perkataan, 'api', 
a-p-i, bahagian pemproses pengecaman huruf/simbol (letter identification processor) diaktifkan,.

2. Kemudian maklumat huruf-huruf tadi dihantar kepada bahagian pemproses fonologi 
( phonological processor). Di sinilah otak menghubung kaitkan huruf dengan bunyi tertentu, huruf-huruf a-p-i dikaitkan kepada bunyi-bunyi /a:/, /p/ dan /i:/. 

3. Setelah huruf-huruf dan bunyi-bunyi disepadukan, bahagian pemproses makna ( meaning processor) akan diaktifkan. Di sini otak akan mentakrifkan/memberi erti 'api' sebagai bahan yang panas.

Bahagian-bahagian pemproses ini tidak terletak setempat di dalam otak. Ia terletak di sebelah kiri, belakang dan depan otak kita. 
Memang happening dalam otak apabila kita membaca.

Beginilah Kaedah Fonetik Gabung Bunyi Bacalah Anakku dan Readeasy mengajar anak membaca.


Nota tambahan: 
1. Mendekod = membaca
2. Fonologi =  kajian bunyi bahasa sesuatu bahasa dan fungsinya dalam sistem bahasa tersebut
3. Fonik (slanga) = fonetik = kajian tentang bunyi bahasa yang diujarkan (the study of speech sounds)

Monday, November 18, 2013

Emel daripada Blogger Terkenal Karipapsayur

Beberapa bulan yang lalu suami saya, terjumpa posting blogger karipapsayur.blogspot.com.
Ini ceritanya http://karipapsayur.blogspot.com/2013/03/ajar-anak-membaca-dengan-bacalah-anakku.html
Qaiser the smartie!
Gambar daripada blog karipapsayur.blogspot.com

Cerita ini kami kongsikan di dalam buku kami AJAR ANAK KECIL MEMBACA AWAL.
Beberapa hari lepas Puan Nurul Qastalani menghantar emel ini kepada suami saya.

Assalam.

MasyaAllah. Terima kasih banyak2 Tuan. Lepas tamat buku Bacalah Anakku, dalam masa 2 hari anak saya dah sibuk pulun baca Read Easy. Sampaikan hari kedua dah nak masuk buku 7!

Skrg pula saya kerja jauh berjauhan dengan anak, kami boleh whatsapp bertanya khabar! Subhanallah.. walaupun ejaannya lebih mengikut bahasa percakapan seharian tapi ini sj dh cukup buat sy gembira dan berbangga! Walaupun hanya sy je yg faham apa dia nak tulis.

Terima kasih banyak2 pd Allah dan Tuan. Anak sy dpt ilmu pandai membaca dan menulis dr Allah melalui buku2 Tuan. Rakan2 turut pelik mengetahui saya sibuk texting dengan anak yg baru berusia 4 tahun! Semoga Tuan dan keluarga dirahmati Allah sentiasa.

Assalam. Sy sudah terima gift diberi. Terima kasih byk2

Text yang dihantar Qaiser kepada ibunya ( dengan terjemahan oleh Pn Nurul, ibu Qaiser)


             Mamitenoniasenkacoaban : mami tengok ni adek kaco abang

            Alaladodansayan ayo ayo: lagu klasik nasional (ala la dondang dondang la sayang.. ayo ayo)

            Lestila: mesti laaa (dgn intonasi eksyen dia)

            Ayabeliutoabanbagihadiyautomami: ayah beli hadiah untuk abg. Abg bg hadiah utk mami          (gambar2)

            Mamibagosmamisuyoaban: mami bgus mami suroh abg ( sy pn blurr kenapa dia ckp ni)

            Abanna fayan: abg nk smayang (subuh)

            Mamibelitabulu : mami beli tak buku

            Makanasiminyaklaonkrisatumelesha: makan nasi minyak lauk kari satu Malaysia :)

KOMEN SAYA:

Alhamdulillah. Berkat kegigihan seorang ibu ( dibantu dengan buku yang tersusun secara sistematik),  seorang anak berumur 4 tahun dapat membaca dalam dua bahasa, bahasa Melayu dan bahasa Inggerisdan sekali gus menulis. Hadiah yang paling istimewa seorang ibu atau bapa boleh berikan kepada seorang anak, ilmu tulis baca.

Semoga cerita Blogger Karipapsayur menjadi sumber inspirasi kita!

Tahniah Puan Nurul Qastalani dan suami puan. Kejayaan puan adalah kejayaan kami jua.




Sunday, November 17, 2013

Kursus Asas Bacalah Anakku Readeasy, Shah Alam, 16 November 2013

Lebih kurang 100 peserta hadir untuk kursus asas saya di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 16 November. Kebanyakkan peserta adalah guru tadika, pengasuh taska dan juga ibu bapa (kaum bapa 2 orang... Hehe yang terhebat di Shah Alam).


Ini dia booklet kursus ada yang baru... Cantik warna biru.


Pendaftaran peserta-peserta




Kali ni ada peserta cilik. Sikit pun tak kacau orang. Kekadang terdengar suaranya menyebut bunyi yang diajar penceramah.


Seronoknya para peserta!



Walau pun kursus asas hanya 3 jam (semalam terlebih setengah jam ),  kami sempat berkongsi cara menyebut bunyi dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris (Beginner level),  buat latihan aksi asosiasi, menyanyi lagu fonik Abu Ada Ayam dan panduan langkah asas mengajar bunyi dan membaca (gabung bunyi). 

Di antara soalan-soalan daripada para peserta:
1. Adakah anak akan keliru kalau di tadika ajar membaca kaedah mengeja tetapi di rumah kaedah fonik?
Jawapannya di sini http://cepatmembaca.blogspot.com/search/label/keliru%20fonik

2. Apa nak buat kalau anak tak nak belajar membaca.
- pelbagaikan teknik mengajar; gunakan teknik pelbagai deria/sensori.
- amalkan teknik belajar sambil bermain.
- sesi bacaan mestilah pendek.
- beri ganjaran dan hadiah untuk setiap pencapaian.
Dapatkan tips daripada buku Permainan Kreatif.
3. Macamana kalau anak pelat atau gagap?
Jawapannya di sini
http://cepatmembaca.blogspot.com/2013/04/ggggagap-gagaga-gagap.html
http://cepatmembaca.blogspot.com/2011/01/pelat-lagi-taya-tuka-tutu.html
http://cepatmembaca.blogspot.com/search/label/masalah%20pertuturan

4. Kes: Anak lelaki yang sudah pandai membaca bahasa Inggeris menggunakan fonik tetapi tidak mahu belajar membaca bahasa Melayu menggunakan Bacalah Anakku.

Cadangan saya:
1. Gunakan buku Bacalah Anakku sebagai rujukan.
2. Gunakan kad huruf di dalam set Bacalah Anakku untuk ajar anak membaca perkataan yang terbina daripada bunyi-bunyi yang sama dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Bunyi-bunyi konsonan yang sama adalah: / b d f g h j k L m n p r s t v w  y z /
Bunyi-bunyi vokal yang hampir sama adalah: /  a e i /; bunyi /a/ sebagaimana sebutan di dalam British English adalah hampir sama dengan bunyi /a/ BM. Bunyi  /e/ seperti di dalam perkataan 'ekor'.

Contoh perkataan BM yang boleh dibina daripada bunyi-bunyi di atas adalah - 
Perkataan yang terbina daripada suku kata terbuka: mana, ani, ana, sani, basi, nasi, kaki,  sama, sami, lari, rama.
(Sila rujuk buku Bacalah Anakku, buku 1-5)

Perkataan yang terbina daripada suku kata terbuka dan tertutup: Sila rujuk buku 6.

3. Gunakan kad huruf untuk membina perkataan yang terbina daripada gabungan konsonan dan vokal u, o dan e pepet ( seperti di dalam perkataan emak). 

4. Sekiranya anak masih tidak mahu membaca menggunakan kad, anda boleh juga mengajarnya membaca menggunakan tulisan. Ikut langkah di atas dengan menggalakkan anak menulis perkataan BM sepertimana di dalam langkah 2 dan 3 di atas.

5. Berapa banyak nak ajar anak membaca dalam setiap sesi di rumah?
Jawapannya: Oleh sebab setiap sesi adalah sangat pendek, tidak banyak yang akan anda mengajar. Yang penting apa yang anda mengajar menyeronokkan supaya ia menjadi bermakna kepada anak. Sekiranya anak dapat mengingat bunyi baru, maka anda boleh mengajar bunyi baru atau gabungan suku kata sebagaimana isi kandungan buku Bacalah Anakku.

Mengajar di rumah adalah lebih mudah dan stress free kerana anda mengajar 1 -to -1. Ajarlah berpada-pada mengikut kemampuan anak. 

Sebelum kursus berakhir, kami membuat 6 cabutan bertuah. Yang bertuah dapat hadiah buku ni.

Kami juga memberi sijil kepada semua peserta kursus.
Sekiranya tuan puan berminat untuk kursus lanjutan sila ke http://www.readnetwork.com/readnbaru/v1_kursus.html untuk mendaftar ke kursus-kursus kami.

Photo session selepas kursus.
  

Friday, November 15, 2013

Ibu Bertanya, Cikgu Nik Menjawab (2)

Hari ini ada ibu bertanya samada anaknya akan keliru sekiranya dia mengajar membaca Kaedah Fonik Bacalah Anakku di RUMAH tetapi di TADIKA anaknya diajar dengan kaedah mengeja atau suku kata.

Cikgu Nik menjawab:
1. Ya anak akan keliru sekiranya dia telah diajar membaca dengan mengeja-ngeja. Walau bagaimanapun tahap kekeliruan bergantung kepada sejauh mana dia telah diajar mengeja
Kalau anak sekadar tahu sebut abcd sehingga z sahaja, masih senang dipulihkan.

Bagitahu anak, "Ibu nak ajar kakak baca dengan sebut bunyi saje".

Seterusnya ajarlah anak menggunakan Kaedah Fonik Bacalah Anakku  mengikut susunan buku. Elak perbesarkan atau marah-marah anak sekiranya dia masih termengeja. 

Sambil senyum katakan, "Ibu nak kakak sebut bunyi saja."

2. Sekiranya anak anda 'pengeja tegar', anda kena cukup cool bila mengajar. Oleh sebab anak sudah terbiasa mengeja, beri peluang anak mengeja bunyi pada peringkat awal (Buku 1 &  2). 

Sebagai contoh latih anak untuk membaca perkataan 'ana' dengan mengeja bunyi sebegini, /aa - nn - aa/, /ana/, atau perkataan 'mana', /mm-aa, ma,nn-aa, na/, /mana/.

3. Apabila anak sudah agak selesa mengeja bunyi, bagitaunya, "Tak payah mengeja, gabung saja bunyi." Anda perlu modelkan kepada anak.

Yang paling penting untuk anda lakukan adalah mengamalkan Latihan Asas Gabung bunyi menggunakan kad. Anda juga perlu melakukan aktiviti Lihat dan Buat dan Dengar dan Buat dengan anak anda.

4. Sekiranya anak anda belajar membaca di tadika dengan menghafal suku kata ba bi bu be bo sehingga za zi zu ze ze zo, kemudian ban bin bun ben ben bon (2000 pola semuanya ya), proses 'convert' lebih mudah sedikit kerana dia tidak mengeja-ngeja. Ikut sahaja candangan 1, 5 dan 6.

5. Apabila menggunakan kaedah fonik Bacalah Anakku, amalkan Latihan Asas Gabung bunyi menggunakan kad, Lihat dan Buat dan Dengar dan Buat.  Jangan sekali-sekali tertinggal langkah pengajaran ini kerana ia adalah aktiviti sensori.

Teknik-teknik ini dikongsi secara praktikal di dalam kursus kami dan juga di dalam Buku Permainan Kreatif.

Latihan Asas Gabung Bunyi

 Lihat dan Buat, Dengar dan Buat

Sekiranya anda tekal menggunakan teknik ini, anak akan faham bahawa membaca adalah dengan menggabung bunyi dan sekali gus anda memberinya kemahiran untuk mendekod (decode) perkataan.

6. Gabung jalinkan aktiviti menulis pada setiap tahap pembelajaran.

Sepanjang 20 tahun saya mengajar kanak-kanak 'mengeja' membaca, ada yang dapat di 'convert' dalam  1 hingga 3 bulan. Walau bagaimanapun mengajar kanak-kanak yang masih belum tahu mengeja membaca adalah JAUH LEBIH MUDAH dan CEPAT. Betul kata Dr Diane McGuiness, "Teaching your child abc is the first ROADBLOCK to reading".


Thursday, November 14, 2013

Bolehkah Saya Menggunakan Bacalah Anakku Dan Readeasy Untuk Mengajar Orang Dewasa Membaca?

Tentu sekali boleh. Walaupun kedua-dua siri buku  ini ditulis untuk kanak-kanak 3 tahun ke atas, isi kandungannya masih sesuai untuk digunakan untuk orang dewasa.

Saya sendiri dan juga teman-teman saya telah berjaya mengajar pembantu rumah kami - ada yang dari Thailand, ada dari Kemboja - membaca bahasa Melayu dengan menggunakan Kaedah Fonik Bacalah Anakku. 
Ada juga orang Arab yang menelefon kami untuk mengucap terima kasih kerana dia belajar membaca bahasa Melayu dengan Bacalah Anakku. 
Ada juga guru kaunselor dan guru-guru BM sekolah menengah berjaya mengajar pelajar menengah membaca dengan Bacalah Anakku.
 
Hari ini saya berbincang dengan seorang kawan yang terlibat dengan kerja sukarela di Ampang. Dia  akan menggunakan Readeasy Phonics untuk mengajar 4 orang wanita dewasa Rohingya membaca.
Walau bagaimanapun, adalah lebih MUDAH untuk mengajar membaca bahasa Melayu berbanding dengan bahasa Inggeris. Tetapi beliau telah memberi komitmen untuk mengajar mereka bahasa Inggeris.

Cadangan saya:
1. Sekurang-kurangnya guru perlu mempunyai satu set Readeasy Phonics (Beginner, Intermediate & Advanced).

2. Pelajar perlu buku latihan bergaris satu untuk penulisan.

3. Ajar mengikut susunan buku. Tidak perlu mengajar semua bunyi terlebih dahulu. 
Sebagai contoh di dalam buku 1 Readeasy, mula-mula ajar bunyi /k/ untuk 'c', bunyi /a/ untuk 'a' dan bunyi /t/ untuk 't'. Kemudian terus ajar mereka membaca perkataan 'cat' dengan menggabung bunyi (blending) ketiga-tiga bunyi.

4. Ajar bunyi yang dikaitkan dengan simbol/huruf. JANGAN guna nama huruf abc (ei, bi, si ) pada peringkat ini.

5. Minta pelajar menulis bunyi yang dipelajari sebagai contoh " Tulis /k/." Pelajar akan menulis huruf 'c'. 

Pelajar (peserta kursus) di dalam gambar menulis bunyi 'g' di dalam permainan 'Beat the Clock'. 

Bagi pelajar yang tidak tahu menulis langsung, tunjuk bagaimana setiap huruf sepatutnya ditulis (letter formation).
Modelkan kepada pelajar.

6. Setelah mengajar beberapa bunyi, anda akan mengajar pelajar membaca perkataan.  Mulakan dengan mengajar mereka 'oral blending' semua perkataan di dalam Buku 1. Sebagai contoh, perkataan 'cat'. 

Guru: I will say the sounds and you give me the word. Watch my mouth.
          / k - a -t /.           ( Sebut 2,3 kali )

Pelajar : cat

7. Kemudian ajar pelajar membaca perkataan satu demi satu dengan menggabungkan bunyi-bunyi (blending) menggunakan kad-kad huruf

Modelkan gabungan menggunakan kad-kad huruf 4 atau 5 kali pada peringkat awal supaya pelajar memahami konsep membaca adalah dengan menggabung bunyi.




8. Galakkan pelajar membina perkataan yang dipelajari menggunakan kad (kad-kad diberi bersama set buku).


Sebagai contoh berikan mereka kad-kad huruf c,a,b, t, o (bunyi-bunyi di dalam buku 1).
Guru: I want you to make the word 'cat', 'cat'. ( ulang sebut beberapa kali)


Bimbing pelajar menyusun kad-kad dengan betul menggunakan carta poket mini. Pelajar boleh juga melakukan aktiviti ini di atas meja.
Ulangi langkah untuk perkataan-perkataan lain.

9. Ajar mereka mengeja perkataan.
Guru: Spell 'cat', 'cat'.
Pelajar: /k - a - t/.            (Tanpa melihat perkataan.)
Ulangi langkah untuk perkataan-perkataan lain.

10. Ajar mereka menulis perkataan dan kemudian ayat-ayat.
Guru: Please write 'cat', 'cat'. 



Gambar ihsan daripada Tadika Iman Cemerlang, Taman Karak Utama milik Pn Nuridah. Hubungi beliau di Facebook Iman Readers.

11. Galakkan pelajar membaca perkataan yang ditulis.

12. Untuk melihat peningkatan dalam pelajaran, ajarlah  membaca 2 atau 3 kali seminggu, selang sehari dua.  Mengajar mereka setiap hari adalah yang terbaik. Membaca adalah kemahiran kompleks samada untuk kanak-kanak mahupun orang dewasa. Oleh itu mereka perlu kontek berterusan dengan pembelajaran.

Semoga berjaya cikgu! 

The Whole-Brain Child (1)

Baru ni ada orang yang mencerita kepada saya anak lelaki remajanya ditampar dan ditendang oleh abang iparnya (pakcik anaknya) hanya disebabkan si anak mengatakan puasa Hari Arafah adalah sunat, bukan wajib, apabila si pakcik bertanya kenapa tak puasa. Seterusnya nenek dan makcik si anak itu turut memarahinya  kerana 'menjawab mulut' orang tua. Alhamdulillah si anak tidak mengganas. Dia hanya diam.

Banyak isu di sini ye, tapi saya simpulkan semua yang berlaku sebagai PENGALAMAN BURUK untuk si anak. Kalau pengalaman ini dibiarkan dengan harapan si anak akan melupai peristiwa itu, jangkaan kita salah. Sebagai ibu bapa, kita mesti bantu anak-anak kita untuk memahami peristiwa buruk sekiranya kita mahu mereka hidup dengan lebih harmoni; supaya mereka dapat lebih memahami dunia sekeliling mereka dan diri mereka sendiri. 

Bagaimana ye?
1. Si anak tentu sekali sedih, marah, geram dengan tindakan warisnya tadi ( in my opinion, tindakan waris tadi adalah tidak wajar).  Sedih, marah, geram adalah emosi yang terbit daripada otak kanan. Dalam mode beremosi, sebaiknya ibu bapa berhubung dengan si anak pada mode yang sama.
Peluk dan belai anak dan bisikkan kepadanya anda faham perasaannya sehingga si anak  tenang.

2. Apabila tenang, cuba pujuk anak untuk menceritakan apa yang telah berlaku (si anak berada dalam mode otak kiri ( logik, pemikiran rasional, membuat keputusan, bahasa). Try to make him TALK about the incident. Help your child to MAKE SENSE of what happened. Minta dia ceritakan(assigning words to emotions) apa yang berlaku dari awal (putting events in order). Dengan menceritakan apa yang berlaku, si anak sedang mengintergrasi otak kiri dan kanannya.

Sekira si anak membatu, maka ibu bapa harus bertanya soalan atau mencerita kembali apa yang berlaku dan cuba mendapatkan si anak untuk meluahkan secara verbal. Hanya dengan luahan verbal akan membantu si anak memahami kenapa perasaannya terguris. Kekadang, sekali luahan tidak mencukupi. Pastikan anda peka dengan keperluan anak anda.

Inilah di antara teknik NEUROSAINTIS Dr Siegel dan Dr Bryson di dalam buku The Whole-Brain Child - Name it to tame it ( penceritaan menenangkan emosi) , control raging right-brain behaviour through left-brain storytelling.


Menceritakan sesuatu peristiwa yang beremosi akan membantu  anak kita atau sesiapa saja untuk menguasai keadaan dan terus melangkah ke depan dengan yakin. Talking can HELP us HEAL.  

Kesimpulannya, ibu bapa seharusnya berhubung emosi dengan anak terlebih dahulu kemudian bantunya menceritakan apa yang berlaku. Dan seterusnya baru bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil. 

Connect emotionally first with your kids then solve the problem.


Wednesday, November 13, 2013

Suka-Suka Fonik # 7 / Fun Phonics # 7

Banyak guru dan ibu bapa terlepas pandang mengajar anak kemahiran mengeja apabila mengajar membaca menggunakan Bacalah Anakku dan Readeasy. Saya cadangkan kemahiran mengeja diajar kepada kanak-kanak 5 tahun ke atas SERENTAKdengan mengajar mereka kemahiran membaca.

Sediakan kad eja (spelling card) untuk setiap pelajar.
Kad eja di bawah adalah untuk mengeja perkataan gabungan 5 bunyi paling maksima.
Anda boleh membuat kad eja 3, 4, 5 bunyi mengikut kesesuaian dan tahap pembelajaran anak.

KAD EJA



Saya suka menggunakan whiteboard kecil dengan anak saya.




Whiteboard untuk bahasa Inggeris.


Langkah:
1. Sediakan senarai perkataan berdasarkan buku Bacalah Anakku atau Readeasy.
2. Minta anak ejakan perkataan pertama, sebagai contoh 'kaki'. "Eja 'kaki'. kaki' (aktiviti otak kiri).
3. Bimbing anak untuk tap dengan jari setiap titik untuk mewakili setiap bunyi.
/k - a - k - i/, kaki.
4. Galakkan anak menulis perkataan 'kaki' (aktiviti otak kiri).


5. Galakkan anak melukis gambar kaki (aktiviti otak kanan).

6. Ulangi langkah 2 -5 untuk lain-lain perkataan.


Praktiskan langkah-langkah yang sama untuk mengeja perkataan bahasa Inggeris.

SELAMAT MENCUBA!