Sunday, December 15, 2013

Kursus Asas BARE Kuantan, 14 Disember 2013

Di antara luahan dan soalanara peserta di awal sesi. Kursus Asas Bacalah Anakku dan Readeasy di Kuantan:


1. Saya setuju ajar membaca Bacalah Anakku terbaik, tetapi ajar menulis memang tak boleh. Budak fonik tak boleh menulis.

2. Ajar bunyi  a i u dalam Buku 1 memang senang, tapi penat saya ajar /n/, /a/, na, budak tak dapat-dapat. /b/ ok. Kenapa pilih /n/? Susah betul!
( He he pesertani memang terbaik. Meluahkan segala isi hatinya sebagai seorang guru. )

3. Saya ajar budak Bacalah Anakku. Saya ajar bunyi tapi kenapa saya rasa macam dia hafal semua dalam buku 1 dan 2? (:0)

4. Tak boleh ke kita ajar a (ei), /a/? 

Ulasan saya untuk luahan 1:
 Daripada pengalaman saya menggunakan kaedah fonik dengan anak-anak kecil, mereka menulis dengan lebih baik. Malah banyak juga kanak-kanak fonik, yang berumur 4 tahun, menulis 'dengan sendiri', tanpa diajar menulis secara formal. Kenapa? Oleh sebab mereka diajar mengenal bunyi yang dikaitkan kepada huruf (simbol) menggunakan teknik pelbagai deria. Mereka diajar menyentuh huruf berpasir, membentuk huruf dengan doh dan menyanyi lagu aksi sebagai contoh. Mereka mudah mengingat bunyi dan mengenal bentuk dan rupa huruf.

Sekiranya kita menyuruh mereka menulis bunyi /s/, mereka akan tulis 's'. 

Yang pasti mereka tidak tahu menulis sekiranya kita menyuruh mereka menulis dengan menyebut nama huruf, sebagai contoh, "Tulis 's' (es)."

Kesimpulannya, pada tahap menulis huruf, galakkan kanak-kanak fonik menulis dengan menyebut BUNYI bukan nama huruf.

Seterusnya mereka diajar membaca sukukata dan perkataan dengan menggabung-gabung bunyi. Dengan itu sekiranya kita menyuruh mereka menulis 'si' mereka akan menulis huruf 's' dan 'i'. Mereka tidak akan keliru sebagaimana kanak-kanak yang diajar membaca dengan mengenal nama huruf dan mengeja-ngeja, yang selalu keliru samada 'si' itu 'c' atau 's' dan 'i', sebagai contoh. Banyak lagi kekeliruan kanak-kanak kaedah mengeja seperti menulis 'bi' dan 'ji'.

Untuk kanak-kanak fonik, pada tahap menulis suku kata, kita hanya perlu menyebut, "Tulis 'sa' atau 'si' atau 'su'. " sahaja. Kita boleh memudahkan menulis dengan memanjang bunyi-bunyi yang boleh dipanjangkan, sebagai contoh, /sssaaa/.  
Pada peringkat awal, kanak-kanak akan bertanya, " Ada /s/, cikgu?" Kemudian setelah mereka menulis 's' mereka  akan bertanya , "Ada /a/, cikgu?"

Setelah mereka dibiasakan menulis, kanak-kanak ini dapat menulis suku kata atau perkataan hanya dengan kita atau mereka sendiri menyebut suku kata atau perkataan tersebut.
Begitulah ' the writing journey' kanak-kanak fonik.

Bahkan mereka gemar menulis luahan hati mereka atau apa saja dengan sendiri. Banyak ibu bapa menceritakan setelah anak mereka pandai membaca dengan Bacalah Anakku, anak-anak mereka suka menulis surat cinta kepada ibu dan bapa mereka.

Di sini contoh karangan anak saya yang ke empat Amalia ketika dia berumur 5 tahun. 

Amalia mula membaca pada umur 4 1/2 tahun dan saya tidak mengajarnya menulis. Pada umur 5 tahun, semasa karangan ini ditulis, Amalia baru masuk tadika. Saya pun memang TERKEJUT sakan!

Di sini satu lagi contoh bagaimana kanak-kanak fonik menulis.

BERSAMBUNG.







No comments: