Friday, December 27, 2013

Kursus Asas Bacalah Anakku Readeasy Di Kuching, Sarawak (2)

SAMBUNGAN
 
 

 
 

Soalan- soalan:
5. Di dalam Kaedah Fonik kanak-kanak tidak diajar nama huruf abc (ei, bi,si). Macamana kalau mereka sudah tahu abc ( ei, bi, si).
Jawapan kamek: 
 Tak menjadi masalah besar kalau pelajar tahu sebut dan nyanyi sahaja. Yang menimbulkan masalah kalau sudah diajar membaca perkataan dengan membatang suku kata dan mengeja-ngeja. Mengambil masa sikit untuk tukar frekuensi.
Guru Fonik dicadang:
A. Senyum dan memberitahu pelajar "Cikgu nak kamu sebut BUNYI. " Puji habis-habis sekiranya pelajar menyebut bunyi.  Buat tak tahu kalau pelajar menyebut nama huruf.

B. Kalau pelajar tegar membatang dan mengeja-ngeja, beri dia peluang utk membatang dan mengeja dengan menyebut BUNYI bukan nama huruf pada PERINGKAT AWAL.
   Sebagai contoh, /m/, /a/, /ma/, /n/, /a/, /na/, /mana/.
Apabila sudah kenal dan selesa mengeja bunyi, beritahu pelajar " tak payah eja-eja lagi, terus gabung saja bunyi-bunyi.".
Untuk memudahkan pelajar beralih daripada mengeja kepada menggabung bunyi untuk membaca suku kata dan perkataan, perbanyakkan latihan gabung bunyi praktikal menggunakan kad, Lihat dan. Buat, Dengar dan Buat.

6. Budak fonik boleh membaca tetapi tidak boleh menulis.
Jawapan kamek: 
Sesiapa sahaja yang mengajar kanak-kanak membaca dengan kaedah fonik gabung bunyi atau apa kaedah sekali pun mesti faham apa itu menulis dan tulisan.
 Tulisan adalah perkataan yang diucapkan dalam bentuk cetak. Dengan kata lain menurut Profesor Dianne McGuiness ' Writing is spoken words'.  
Menurut Wikipedia pula menulis adalah sesuatu kegiatan untuk menciptakan suatu catatan atau informasi pada suatu media dengan menggunakan aksara (simbol) . Pada awal sejarahnya, menulis dilakukan menggunakan gambar (zaman Mesir Kuno).

Tulisan dengan aksara muncul sekitar 5000 tahun lalu. Orang- Orang Sumeria menciptakan tanda-tanda pada tanah liat. Tanda-tanda tersebut mewakili BUNYI di dalam bahasa pertuturan mereka.

Kembali kepada kenyataan bahawa budak fonik tidak boleh atau tahu menulis, kita mesti jelas bahawa menulis bukan HANYA dengan menyebut-nyebut nama huruf. 

Budak fonik menulis dengan mencatat simbol untuk mewakili bunyi di dalam bahasa pertuturan. Tentu sekali mereka tidak dapat menulis huruf 'b' (bi) sekiranya cikgu menyebut nama huruf. Tetapi mereka dengan mudah akan menulis huruf 'b' jika cikgu menyebut "Tulis /b/."
Sekiranya cikgu menyebut "Tulis 'bi'", mereka akan menulis suku kata 'bi'.

Budak fonik seperti budak-budak lain juga diajar bentuk dan rupa huruf-huruf, a b c .... z ( huruf Roman ) untuk membaca dan menulis di dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Yang perlu difahami kita yang mengajar adalah bagaimana kanak-kanak fonik menulis. Mereka menulis dengan memindahkan bunyi di dalam bahasa pertuturan ( speech sounds ) kepada simbol cetakan 
( print ). 

7. Berapa lama nak ajar anak disleksia?
Jawapan kamek:
Anak-anak disleksia atau berkeperluan Khas mengambil masa yang lebih lama untuk diajar membaca, lebih kurang 3 - 6 bulan. Mereka juga memerlukan sokongan yang berterusan terutama untuk menulis.
 
Di sini link membincangkan bagaimana kita boleh membantu anak disleksia membaca. 
http://cepatmembaca.blogspot.com/2013/12/harapan-untuk-anak-disleksia-1.html
http://cepatmembaca.blogspot.com/2013/12/harapan-untuk-anak-disleksia-2.htm. 

8. Bagaimana untuk memberitahu  ibu bapa untuk memberi sokongan anak membaca di rumah sedangkan ibu bapa sendiri tidak tahu membaca.
Jawapan kamek:
Bacalah Anakku dan Readeasy boleh digunakan untuk mengajar orang dewasa membaca. Saya cadang cikgu buka kelas membaca dewasa. It's not to late to learn to read.
Sudah banyak pelajar sekolah menengah, pembantu rumah asing dan warga asing belajar membaca bahasa Melayu menggunakan Bacalah Anakku.

Walau bagaimanapun, ibu bapa yang tidak tahu membaca masih boleh memberi sokongan di rumah dengan hanya duduk bersebelahan anak untuk mendengar si anak membaca sambil memberi kata-kata perangsang dan harapan, pelukan dan kasih sayang.

Thursday, December 26, 2013

Kursus Asas Bacalah Anakku Readeasy Di Kuching, Sarawak (1)

Setelah sekian lama tidak mengadakan kursus di Kuching, akhirnya pada 18 Disember, saya dan suami, berpeluang mengendalikan Kursus Asas Bacalah Anakku & Readeasy di sana hanya kerana kegigihan beberapa orang guru yang diketuai oleh Pn Sharifah Suharni bersusah payah menganjurkan kursus ini. Kami cukup terharu kerana kebanyakan peserta yang terdiri daripada guru pra dan pemulihan sekolah rendah kerajaan membayar yuran kursus dengan duit mereka sendiri.Bahkan ada juga yang datang dari Miri, Sri Aman dan Bintulu melalui pesawat. Dalam suasana semua harga barang naik, mereka ini tidak lokek mengeluarkan duit. Semua disebabkan semangat dan rasa tanggung jawab yang tinggi untuk membantu anak didik mereka. Semoga Allah memberkati hidup mereka. Lain-lain peserta terdiri daripada guru-guru tadika swasta dan 2 orang ibu murid pemulihan.

         
  
 

  
        

Peserta pada hari tersebut banyak bertanyakan soalan.
SOALAN-SOALAN MEREKA:
1. Senang ke nak ajar kanak-kanak 3 tahun bunyi?
Jawapan kamek:
Senang gilak. Ajar melalui lagu aksi Abu Ada Ayam dan/atau teknik asosiasi aksi.
Lagi pun bunyi- bunyi yang diajar /a, i, u, n, b, m / adalah di antara bunyi awal yang dikeluarkan bayi.

2. Nak ajar huruf besar atau huruf kecil dahulu?
Jawapan kamek:
Ajar huruf kecil dahulu kerana kebanyakan teks ditulis menggunakan huruf kecil. Huruf besar hanya digunakan untuk permulaan ayat dan nama khas. Terutama sekiranya anda mengajar anak kecil dan murid pemulihan yang cepat lupa. Sebab itulah semua teks di dalam Buku 1-5 Bacalah Anakku dan Books 1-6 Readeasy ditulis dengan huruf kecil. Huruf besar diperkenalkan di dalam buku 6-8 Bacalah Anakku dan 7-8 Readeasy.

3. Macamana nak kenal nama pelajar kalau belum pandai membaca?
Jawapan kamek:
Ajar mereka mengenal melalui kaedah pandang sebut ( look and Say) dahulu. Di tadika saya, guru2 menyediakan kad nama. Setiap hari pelajar akan mengambil kad nama untuk memudah mereka menyalin / menulis nama di lembaran aktiviti. Tulis nama mereka menggunakan huruf besar di awal nama sahaja, sebagai contoh Ainun Solehah.

4. Berapa lama nak ajar 1 bunyi?
Jawapan kamek:
Bergantung kepada umur atau tahap masalah keperluan spesifik dan masa BM atau BI yang diperuntukkan di sekolah. Guru perlu tentukan target pencapaian. Untuk guru pemulihan sekolah rendah tentu sekali target pencapaian adalah tamat buku 8 Bacalah Anakku. Daripada pengalaman guru-guru yang telah berjaya menggunakan Bacalah Anakku dan / atau Readeasy Beginner untuk pelajar pemulihan, pelajar dapat menguasai kemahiran membaca dan menulis di antara 2 hingga 6 bulan. 
Sila rujuk Buku Rancangan Mengajar Bacalah Anakku.
Klik di sini untuk membeli.

Cadangan saya untuk guru-guru, pastikan pelajar pemulihan betul-betul faham konsep gabung bunyi. Luangkan lebih masa mengajar buku 1 dan 2 walaupun nampak mudah. Perbanyakkan aktiviti pelbagai deria untuk mengenal bunyi dan Lihat dan Buat, Dengar dan Buat untuk menggabung bunyi.

BERSAMBUNG

Harapan Untuk Anak Disleksia ( 2 )

SAMBUNGAN:
3. GO SLOW
Anak disleksia memerlukan lebih masa untuk mempelajari apa saja. Ajar mereka sikit-sikit tetapi berulang kali menggunakan teknik pengajaran pelbagai deria kerana anak Disleksia lemah ingatan visual dan/atau ingatan auditorinya. 

Mengajar 1 bunyi:
Guna kad huruf kecil dahulu. Gunakan kad huruf Abu Ada Ayam, besar dan berwarna merah. Walau bagaimana pun ada sesetengah penglihatan anak-anak disleksia yang tidak tahan silau. Warna merah tidak sesuai untuk mereka. 

 Untuk mengajar 1 bunyi, sebagai contoh /a/,  pelbagai aktiviti sensori perlu dilakukan. Sebut /a/ banyak kali dengan intonasi yang berbeza - kuat, perlahan, nyaring, garau. Kaitkan bunyi /a/ dengan aksi asosiasi 'terkena panas api' ( diajar dalam kursus). Buat huruf 'a' dengan doh, tulis 'a' dengan jari, sentuh huruf berpasir 'a', tekap/salin/tulis huruf 'a' , tulis 'a' besar di atas udara untuk merangsang memori otot ( muscle memory ).  Pastikan anak menulis dan membentuk huruf sebagaimana huruf ditulis. Latih anak menceritakan ( describe ) rupa dan bentuk huruf ketika menulis dan membentuk huruf dengan doh. Sebagai contoh, /a/ melengkung macam telinga cawan, kemudian ada tiang pendek.
Ulang, ulang, ulang. 

Kemudian barulah ajar bunyi seterusnya, i dan u sebagaimana di atas.

Mengajar membaca dengan gabung bunyi:
Mulakan gabungan bunyi /b/ dan /a/. Tunjukkan dengan kad bergerak, buat aktiviti Lihat dan Buat dan Dengar dan Buat ( diajar dalam kursus ). Buat 'ba' dengan doh. Tekap / Salin / Tulis 'ba'. Galakkan anak Disleksia sebut bunyi sambil membuat aktiviti gabungan. Sebagai contoh latih mereka menyebut /b ... a, ba /. 
Ulang, ulang, ulang. PENGULANGAN mestilah BERMAKNA kerana anak disleksia mengalami masalah memproses maklumat yang baru masuk dan pada masa yang sama mengambil maklumat dari stor ingatan jangka panjang. 


Saturday, December 21, 2013

Harapan Untuk Anak Disleksia (1)

Otak kanak-kanak disleksia memproses bahasa berlainan dengan kanak-kanak normal. Mereka boleh diajar membaca dan mampu membaca. Samada mereka akan menjadi pembaca yang hebat atau sebaliknya, bukan bergantung kepada fakta mereka disleksik atau tidak, tetapi sejauh mana kemahuan, masa dan dedikasi ibu bapa atau guru atau ibu bapa dan guru mereka membantu mereka.

Menurut kajian luar negara, KAEDAH FONIK YANG SISTEMATIK yang menggunakan pendekatan pengajaran pelbagai deria terbaik untuk kanak-kanak disleksia belajar membaca.
Sepanjang saya berkongsi Kaedah Fonik Gabung Bunyi Bacalah Anakku, saya telah bertemu dengan banyak ibu bapa dan juga guru-guru anak disleksia yang berjaya diajar membaca. Kejayaan mereka bukan sahaja kerana kaedah fonik gabung bunyi serasi dengan anak disleksia tetapi juga disebabkan oleh dedikasi ibu bapa dan guru yang memberi sokongan berterusan. 

Pastikan:
1. KAEDAH MEMBACA YANG BETUL
 Menggunakan kaedah mengajar membaca yang tidak perlu hafalan pola yang banyak kerana anak disleksia mempunyai masalah mendapatkan semula info (information retrieval) yang telah dilihat atau didengar.

2. LATIHAN dan SOKONGAN YANG BERTERUSAN
Kebanyakan anak disleksia berjaya kerana sokongan ibu bapa di rumah. Ibu bapa perlu ada ilmu dan kemahiran untuk membantu anak disleksia. Keraplah menghubungi gurunya untuk membincang apa sokongan yang anak perlu di rumah. Anak disleksia perlu pengulangan di rumah apa yang dipelajarinya di sekolah. Saya telah bertemu dengan beberapa ibu dan bapa anak2 disleksia di dalam kursus saya. Mereka mencari ilmu untuk mengajar anak mereka membaca. Kebanyakan mereka menghubungi saya kembali untuk berkongsi berita gembira, anak mereka pandai membaca. Ada yang berjaya membaca dalam kedua bahasa, BM dan BI dengan menggunakan Bacalah Anakku dan Readeasy. Alhamdulillah syukur!

Bacakan buku cerita, main permainan bahasa (bunyi) di rumah, di dalam kereta dan di mana sahaja. Jadikan pengajaran bunyi dan gabung bunyi bermakna. Berceritalah, bersembanglah untuk meningkatkan penguasaan bahasa anak disleksia. Ini akan memudahnya membaca nanti.
BERSAMBUNG

Monday, December 16, 2013

Suka-suka fonik #9 / Fun Phonics #9

MEMORY GAME DRESSING UP

Objektif: Meningkatkan daya ingatan kanak-kanak.
Bahan: Pelbagai aksesori pakaian, cermin mata hitam, topi, skaf, rantai leher.

Cara bermain:
1. Ibu bapa / pengasuh / guru memakai aksesori badut atau pakaian tambahan seperti topi, cermin mata, skaf di leher, rantai manik.

2. Galakkan anak menamakan aksesori-aksesori tambahan tersebut.
3. Minta anak pusing ke belakang dan anda membuang salah satu aksesori.
4. Minta anak pusing kembali dan tanyalah dia "Apa yang hilang?"
    Ulang permainan. 

Variasi permainan: tampalkan beberapa kad / huruf / suku kata / perkataan  di muka dan bahagian badan. 
Anak mesti suka melihat anda berpakaian lucu atau muka/ badan dipenuhi kad!
Permainan akan lebih bermakna.
Beri juga peluang anak menguji memori kita. Tukar peranan, anak pula yang 'dress-up'. This activity is for everybody!

Sunday, December 15, 2013

Kursus Asas BARE Kuantan, 14 Disember 2013

Di antara luahan dan soalanara peserta di awal sesi. Kursus Asas Bacalah Anakku dan Readeasy di Kuantan:


1. Saya setuju ajar membaca Bacalah Anakku terbaik, tetapi ajar menulis memang tak boleh. Budak fonik tak boleh menulis.

2. Ajar bunyi  a i u dalam Buku 1 memang senang, tapi penat saya ajar /n/, /a/, na, budak tak dapat-dapat. /b/ ok. Kenapa pilih /n/? Susah betul!
( He he pesertani memang terbaik. Meluahkan segala isi hatinya sebagai seorang guru. )

3. Saya ajar budak Bacalah Anakku. Saya ajar bunyi tapi kenapa saya rasa macam dia hafal semua dalam buku 1 dan 2? (:0)

4. Tak boleh ke kita ajar a (ei), /a/? 

Ulasan saya untuk luahan 1:
 Daripada pengalaman saya menggunakan kaedah fonik dengan anak-anak kecil, mereka menulis dengan lebih baik. Malah banyak juga kanak-kanak fonik, yang berumur 4 tahun, menulis 'dengan sendiri', tanpa diajar menulis secara formal. Kenapa? Oleh sebab mereka diajar mengenal bunyi yang dikaitkan kepada huruf (simbol) menggunakan teknik pelbagai deria. Mereka diajar menyentuh huruf berpasir, membentuk huruf dengan doh dan menyanyi lagu aksi sebagai contoh. Mereka mudah mengingat bunyi dan mengenal bentuk dan rupa huruf.

Sekiranya kita menyuruh mereka menulis bunyi /s/, mereka akan tulis 's'. 

Yang pasti mereka tidak tahu menulis sekiranya kita menyuruh mereka menulis dengan menyebut nama huruf, sebagai contoh, "Tulis 's' (es)."

Kesimpulannya, pada tahap menulis huruf, galakkan kanak-kanak fonik menulis dengan menyebut BUNYI bukan nama huruf.

Seterusnya mereka diajar membaca sukukata dan perkataan dengan menggabung-gabung bunyi. Dengan itu sekiranya kita menyuruh mereka menulis 'si' mereka akan menulis huruf 's' dan 'i'. Mereka tidak akan keliru sebagaimana kanak-kanak yang diajar membaca dengan mengenal nama huruf dan mengeja-ngeja, yang selalu keliru samada 'si' itu 'c' atau 's' dan 'i', sebagai contoh. Banyak lagi kekeliruan kanak-kanak kaedah mengeja seperti menulis 'bi' dan 'ji'.

Untuk kanak-kanak fonik, pada tahap menulis suku kata, kita hanya perlu menyebut, "Tulis 'sa' atau 'si' atau 'su'. " sahaja. Kita boleh memudahkan menulis dengan memanjang bunyi-bunyi yang boleh dipanjangkan, sebagai contoh, /sssaaa/.  
Pada peringkat awal, kanak-kanak akan bertanya, " Ada /s/, cikgu?" Kemudian setelah mereka menulis 's' mereka  akan bertanya , "Ada /a/, cikgu?"

Setelah mereka dibiasakan menulis, kanak-kanak ini dapat menulis suku kata atau perkataan hanya dengan kita atau mereka sendiri menyebut suku kata atau perkataan tersebut.
Begitulah ' the writing journey' kanak-kanak fonik.

Bahkan mereka gemar menulis luahan hati mereka atau apa saja dengan sendiri. Banyak ibu bapa menceritakan setelah anak mereka pandai membaca dengan Bacalah Anakku, anak-anak mereka suka menulis surat cinta kepada ibu dan bapa mereka.

Di sini contoh karangan anak saya yang ke empat Amalia ketika dia berumur 5 tahun. 

Amalia mula membaca pada umur 4 1/2 tahun dan saya tidak mengajarnya menulis. Pada umur 5 tahun, semasa karangan ini ditulis, Amalia baru masuk tadika. Saya pun memang TERKEJUT sakan!

Di sini satu lagi contoh bagaimana kanak-kanak fonik menulis.

BERSAMBUNG.







Thursday, December 12, 2013

THIS PICTURE SPEAKS A THOUSAND WORDS

Hati saya terkesan melihat gambar ini.

 
           Gambar ihsan daripada Tadika Bintang Aurora, Johor

Mengajar anak kecil membaca bukan sekadar mengajar ' the mechanics of reading'.  
Mengajar anak kecil membaca bukan sekadar mengajarnya menyebut bunyi huruf.
Mengajar anak kecil membaca bukan sekadar mengajarnya menggabung bunyi.
Mengajar anak kecil membaca bukan sekadar mengajarnya menyebut perkataan dengan jelas.
Mengajar anak kecil membaca bukan sekadar mengajarnya membaca lancar.
Mengajar anak kecil membaca bukan sekadar mengajarnya membaca dengan intonasi yang betul.
Mengajar anak kecil membaca HARUSLAH dengan 'compassion', dengan kasih sayang. 

Wahai guru-guru dan ibu bapa yang dihormati,  berilah tangan anda untuk si anak merasa  selamat ketika  dia belajar membaca.
Wahai guru-guru dan ibu bapa yang dihormati,  ribalah si anak ketika mengajarnya membaca.
Wahai guru-guru dan ibu bapa yang dihormati,  belailah kepala si anak ketika mengajarnya membaca.
Wahai guru-guru dan ibu bapa yang dihormati, peluk ciumlah si anak ketika mengajarnya membaca.

Nescaya si anak ini akan menyimpan pengalaman itu untuk dijadikan tradisi mendidik anaknya nanti.