Showing posts with label pemulihan. Show all posts
Showing posts with label pemulihan. Show all posts

Thursday, July 2, 2015

From Zero To Hero (2): Wan Mohd Fahmy Wan Faizal 13 tahun


WAN MOHD FAHMY, 13 tahun pelajar Kelas pendidikan Khas, SMK CHERAS JAYA.
Wan Fahmy anda HERO! Sudah pasti kegigihan anda akan menjadi INSPIRASI bagi pelajar-pelajar lain, terutamanya pelajar keperluan khas. Anda juga bertuah mendapat ibu bapa yang tidak kenal erti berputus asa. Ibu bapa yang sentiasa menyokong anda. 

Saya mengucapkan terima kasih kepada Wan Fahmy, kedua ibu bapanya Encik Wan Faizal dan Puan Syahziyan kerana mengizinkan saya berkongsi cerita putera mereka. 



Wan Fahmy dilahirkan secara pembedahan kerana komplikasi lemas semasa dalam kandungan. Fahmy membesar seperti kanak-kanak lain. Dia menghadiri tadika dan sekolah rendah biasa.
Walau bagaimanapun, sehingga umur 11 tahun, Fahmy masih belum pandai membaca.

Atas nasihat seorang guru, ibunya, Puan Syahziyan, menghantar Fahmy ke Kelas Cepat Membaca Cik Ani, di Taman Rakan, Cheras.


Pn Rohanie Wahab atau lebih dikenali dengan panggilan Cik Ani, berpengalaman mengajar kanak-kanak kecil membaca menggunakan Siri Cepat Membaca Bacalah Anakku untuk bahasa Melayu dan Readeasy Phonics untuk bahasa Inggeris di bawah program perlesenan PHONICSMART.

Beliau juga diminta mengajar murid-murid corot Sk Taman Rakan, Cheras, membaca oleh Pn Hoe Yoke Mei ,  guru Besar ketika itu. InsyaAllah di entri akan datang akan saya ceritakan pengalaman dan kejayaan Cik Ani.

Wan Fahmy mula mengikuti Kelas Membaca Cik Ani ketika di Tahun 5. Pada masa itu Fahmy hanya kenal nama-nama huruf abc dan mampu 'menulis' ( menyalin semula perkataan ). Cik Ani mengajar Fahmy bunyi-bunyi huruf dan membaca dengan menggabung bunyi. Fahmy juga diajar menulis pada masa yang sama. Fahmy menghabiskan buku 1-8 Bacalah Anakku dalam masa 36 jam. Cik Ani kagum dengan dedikasi Fahmy yang luar biasa dan sokongan keluarganya yang berterusan. Itulah resepi kejayaan!

Walaupun pun sudah tamat dan mampu membaca namum Fahmy meneruskan kelas dengan Cik Ani sehingga sebelum UPSR, supaya lebih lancar membaca dan boleh menulis dengan lebih baik. Pada masa itu juga Fahmy  dimasukkan ke Kelas Pendidikan Khas.

Kini Fahmi sudah lancar membaca bahasa Melayu. Dia sudah mampu membaca akhbar dan buku-buku sekolahnya dengan baik.

Di sini video Fahmy membaca Bacalah Anakku, Buku 8 pada umur 11 tahun.

Sekarang Fahmy sedang belajar membaca bahasa Inggeris menggunakan Readeasy Phonics dengan Cik Ani. Fahmy dapat membaca sehingga Book 8 Readeasy Phonics dalam masa 15 jam sahaja. Hebat! Tahniah Fahmy!

Kedua ibu bapa Fahmy, Encik Wan Faizal dan Puan Syahziyan sangat bersyukur dan gembira dengan pencapaian Fahmy ... From zero to HERO!

Harapan mereka dan juga saya berilah peluang anak-anak berkeperluan khas belajar membaca dengan Kaedah Fonik Gabung Bunyi Bacalah Anakku dan Readeasy. InsyaAllah dengan guru yang terlatih, buku bacaan yang sistematik dan kaedah yang efektif,  anak berkeperluan khas  juga mampu diajar membaca.

Hubungi Readnetwork 03-41435440 untuk lokasi PhonicSmart Reading Centre yang terdekat dengan anda atau layari http://www.readnetwork.com/readnbaru/kelas.html

Wednesday, May 13, 2015

Rahsia Kejayaan Dua Guru Pemulihan.


Cikgu Saini @ SyameerIrsyan bersama Konsultan Bacalah Anakku, Cikgu Sharifah Suharni,  selaku pemerhati di Kursus Bacalah Anakku & Readeasy di Kuching, 11 dan 12 April 2015.

Pada 11 Dan 12 April lalu kami berpeluang berkongsi kaedah mengajar membaca dengan guru-guru Sarawak di Kuching. Saya suka sangat sebab bersama kami Presiden  Persatuan Disleksia Sarawak, Dr Ong, pegawai-pegawai LINUS dan guru-guru KPM, serta guru-guru tadika swasta



Bertambah seronok bila dapat bertemu sekali lagi peserta kursus 2013, guru-guru KPM Pn Khadizah, Pn Zaleha Bengsi, Pn Sharifah Suharni dan En Saini @ Syameer Irsyan.


Walau pun baru setahun yang berlalu semenjak kursus pertama Di Kuching, tetapi kejayaan beberapa orang guru menggunakan kaedah fonik amat membanggakan kami. Kami sedang kumpulkan cerita-cerita From Zero To Hero.
Di akhir kursus Cikgu Saini@syameer Dan Cikgu Sharifah Suharni berkongsi pengalaman dan tips bagaimana mereka berjaya menggunakan Kaedah Fonik Bacalah Anakku untuk murid-murid pemulihan mereka. 


Di sini saya kongsikan.  
1.Guru perlu yakin pada diri sendiri bahawa kaedah membaca fonik gabung bunyi dapat membantu kanak-kanak dan murid-murid membaca dengan cepat dan lancar.

2. Guru perlu berbincang dan memaklumkan kepada pihak sekolah dan ibubapa kanak-kanak/murid bahawa guru menggunakan kaedah membaca fonik gabung bunyi di sekolah. Komunikasi yang baik antara pihak yang terlibat menentukan kejayaan perlaksanaan kaedah fonik gabung bunyi di sekolah.

3. Guru hendaklah sabar dan tidak mudah berputus asa menggunakan kaedah membaca fonik gabung bunyi di sekolah. Usaha yang konsisten akan membuahkan hasil.

4. Guru mempraktikkan teknik-teknik yang dipelajari sepanjang mengikuti kursus kaedah mengajar membaca fonik gabung bunyi. 

5. Teks bacaan hendaklah ditulis atau ditaip dengan warna merah dan hitam. Warna merah "e" pepet manakala warna biru untuk"e" taling. Ianya dapat membantu murid-murid membezakan perkataan yang ada  e pepet dan e taling.

Moga bermanfaat! Jom fonik!

Thursday, May 7, 2015

From Zero To Hero


Sylvester Beliang AK Ngelambong
Pelajar Tahun 2 SK Pengkalan Lobang, Mukah, Sarawak
Guru: Cikgu Saini @ Syameer Irsyan (Guru Pemulihan)
Pada tahun lepas 2014, Sylvester melangkah ke Tahun 1, ZERO, tanpa menghadiri pra sekolah. Maklumlah rumahnya di pedalaman Mukah. Murid-murid sekolah SK Pengkalan Lobang tinggal di asrama sekolah. 
Daripada Januari sehingga April 2014, Sylvester diajar membaca menggunakan kaedah biasa, iaitu kaedah mengeja. 

Pada saringan 1 LINUS, 1 April, Sylvester hanya mengenali 6 huruf abjad. 
Selepas saringan 1, Sylvester dihantar ke kelas pemulihan Cikgu Saini@Syameer. 

Cikgu Saini@Syameer mula mengajarnya membaca menggunakan kaedah fonik gabung bunyi Bacalah Anakku bermula Mei.  

Menurut Cikgu Saini@Syameer, Sylvester dapat mengenal hampir kesemua bunyi-huruf dengan mudah dalam masa 3 hari sahaja melalui TEKNIK ASOSIASI. 
 Teknik asosiasi, tttt tembak. 
Teknik asosiasi, uuu ulat berjalan di atas dahan. 
Teknik asosiasi, nnn memandu kereta lumba.


Pada bulan Julai, Sylvester sudah lancar membaca dan mampu juga menulis dengan kemas dan cantik. 

Januari 2015, Sylvester dikeluarkan daripada kelas pemulihan dan dimasukkan ke kelas Tahun 2 arus perdana. Menurut Cikgu Saini@Syameer, bacaan Sylvester jauh lebih baik daripada murid-murid lain yang diajar membaca dengan kaedah mengeja. 

SYLVESTER BELIANG, from ZERO to HERO kerana kegigihan gurunya,Cikgu Saini@Syameer Irsyan, yang sebenarnya HERO di dalam kisah ini. 
Terima kasih cikgu! 

Kesemua foto ihsan daripada Cikgu Saini@Syameer Irsyan.

Friday, November 1, 2013

Anak anda keliru 'b' - 'd'? (3)

(Sambungan)

Tip 6: 
Dangdut 'b' & 'd'.
Sekiranya anak anda auditory learner(Geng Telinga), beri peluang dia menyebut bunyi 'b' dan 'd' berulang-ulang mengikut irama mudah.

Ini lirik  'b' mengikut irama 'Skip To My Lou. 

b b b b b b
b b b b b b
b b b b b b
b b b b b b b 

Ini lirik  'd' mengikut irama  'Lompat Si Katak Lompat'.

d d d d d d d
d d d d d d d
d d d d d d
d d d d d d d d

Atau apa saja irama kegemaran anak anda.

Tip 7: 
Mencari Harta Karun.
Berikan majalah atau akhbar lama kepada anak anda. Galakkan anak membulat 'b' 
dengan pen merah.

Kemudian galakkan dia membulatkan 'd' dengan pen biru.

Jangan lupa pesan kepada anak untuk menyebut bunyi /b/ dan /d/ ketika membulat huruf. Selamat mencuba!

Wednesday, October 30, 2013

Anak Anda Keliru 'b' - 'd'? (4)


(Sambungan)

Tip 8: 
Thumbs up!

Thumbs up menggunakan tangan kiri mewakili bunyi  /b/.
Thumbs up menggunakan tangan kanan mewakili bunyi  /d/.

Galakkan anak tekap (trace) bentuk huruf 'b' dan 'd' mengikut cara huruf itu ditulis. Sebut bunyi setiap kali selesai menekap.

 Mula dari atas ibu jari untuk menekap huruf 'b'.

 Mula dari hujung jari telunjuk untuk menekap huruf 'd'.




Anak Anda Keliru 'b' - 'd'? (2)

(Sambungan)

Tip 4:  
Huruf Magika.
Menulis huruf 'b' di atas angin dengan pergerakan lengan. Kemudian sebut bunyi /b/.
Begitu juga untuk huruf 'd'. 
Pastikan anak menggerakkan lengan mengikut arah sebagaimana huruf itu sepatutnya ditulis.
Aktiviti ini akan membina ingatan otot (muscle memory) anak anda.

Dapatkan Poster Carta Bunyi untuk merujuk cara huruf ditulis.



Tip 5:
Huruf Bergambar.
Sekiranya anak anda visual learner (Geng Mata), kaitkan bentuk huruf 'b' dan 'd' dengan bentuk objek yang bersesuaian.


Gambar siput di dalam huruf 'b' akan membantu anak mengingat 'b' dengan lebih baik. Sementara gambar bola dan bat baseball membantunya mengingat huruf 'd' dengan lebih mudah.

(Bersambung)

Monday, October 28, 2013

Anak anda keliru 'b' - 'd'?

Tips pelbagai deria (multi sensory) untuk membantu anak yang keliru di antara 'b' dan 'd':

TIP 1: menyentuh huruf-huruf berpasir 'b' dan 'd' sebagaimana huruf-huruf itu ditulis. Sebut bunyi.
Anda boleh menggunakan kertas pasir atau span periuk untuk membuat huruf. Tampalkan huruf pada kadbod keras. 

 

Langkah tambahan bagi kanak-kanak auditory ( yang cenderung menggunakan telinga untuk belajar):
Latih mereka 'mencerita' cara huruf tersebut ditulis ( sambil menyentuh huruf ).
Untuk huruf 'b', mula dari atas,turun ke bawah dan buat pusingan ke kanan, /b/.
Untuk huruf 'd', buat pusingan ke kiri, naik ke atas dan turun ke bawah, /d/. 

TIP 2: latih anak menyebut bunyi 'b' di hadapan cermin. 
Tutup mulut kemas-kemas membentuk garisan lurus. Galak anak menyentuh bibirnya dengan jari. Kemudian sebut bunyi.

Berhadapan dengan cermin, latih anak menyebut bunyi 'd'. Letak lidah di lelangit keras dengan mulut terbuka. Galak anak menyentuh bibir dengan jari (buat bulatan). Kemudian sebut bunyi.

TIP 3:  Latihan diskriminasi huruf.
Buat beberapa keping kad seperti contoh di bawah. Minta anak sebut bunyi secepat mungkin. Guru atau ibu catat masa dan kesilapan anak. Ulangi aktiviti setiap hari secara berkala.

KAD 1
Sebut bunyinya.
b b b b d d b d d d b
d b b d d d b d b b b
d d b d b b b d d b d
b b b d b d b b d d b                       Masa:                  Bilangan kesilapan:

Kad 2
Sebut bunyinya.
d d b b b d b d d b b
b b b d b d b b d d b
d b b d b b b d d b d
b b b b d d b d d d b                       Masa:                  Bilangan kesilapan:

Kesemua tips di atas sesuai untuk kanak-kanak disleksik juga.

( Bersambung )