Showing posts with label cara menulis. Show all posts
Showing posts with label cara menulis. Show all posts

Monday, May 5, 2014

Membantu Yang Kidal ( Lefties ) Menulis

Tulisan BURUK.
Tulisan COMOT.
MALAS menulis.
Siapakah mereka ini?

Kebanyakan tulisan kanak-kanak kidal comot dan tidak cantik. Kenapa tulisan mereka comot dan buruk? Kerana mereka tidak mendapat bantuan dan bimbingan pada peringkat awal penulisan. Banyak juga di antara mereka yang menulis dengan postur badan yang buruk. Dengan itu mereka akan cepat penat apabila menulis.

Menurut pakar-pakar pendidikan awal kanak-kanak, kanak-kanak akan menunjukkan tangan dominan mereka, kanan atau kiri, di antara umur 5 hingga 6 tahun.

Oleh itu guru-guru prasekolah harus peka mengenai hal ini dan membantu mereka yang cenderung kidal dalam melakukan aktiviti psikomotor halus  terutama dalam aktiviti awal tulisan dan penulisan.

TIPS MEMBANTU MEREKA YANG KIDAL MENULIS:
1. Alat penulisan yang sesuai.
Pastikan badan pensel yang digunakan tidak licin dan mata pensel tidak terlalu lembut. Pensel yang badannya licin berkilat adalah tidak sesuai untuk digunakan oleh mereka yang kidal. 

Pensel berbentuk segitiga dapat membantu mereka menulis dengan lebih baik. 

Mereka yang kidal juga boleh menggunakan 'pencil grips'. Cubalah beberapa jenis pensel dan pilihlah yang paling sesuai untuk mereka.

2. Pegangan pensel.
Latih mereka memegang pensel dengan pegangan tripod, 2 - 2.5sm daripada mata pensel. Ini akan membantu mereka untuk melihat apa yang mereka sedang menulis.
Gambar daripada iched.org

3. Postur badan.
Pastikan ketinggian meja ( aras pusat ) dan kerusi sesuai.
Badan tegak, siku diletakkan di atas meja dengan selesa dan kedua belah kaki tetap ( fix ) di atas lantai.

4. Kedudukan kertas.
Letakkan kertas ke kiri kepada bahagian garis tengah badan ( body mid line ). Kemudian condongkan kertas 45 darjah ke kanan.
Gambar daripada handedness.org

5. Tandakan tempat permulaan penulisan.
Banyak juga kanak-kanak kidal yang menulis dari kanan ke kiri. Untuk mengelakkan kesilapan ini, tandakan titik permulaan penulisan di atas kertas dengan jelas. Tandakan dengan melukis bintang, titik atau apa sahaja yang sesuai.

6. Cara Menulis Huruf ( letter formation ).
Pastikan ibu bapa dan guru tahu cara menulis setiap huruf yang betul untuk membantu anak kidal menulis. 
Di sini saya kongsi letter formation for lefties daripada abcteach.com


7. Posisi tangan ketika menulis.
Pastikan tangan lurus di bawah garis tulis dan tidak dibengkokkan seperti cangkuk ( hooked hand position ).
Pastikan mereka dapat melihat apa yang sedang ditulis.

Semoga tips di atas dapat membantu anak-anak yang kidal.

Sunday, December 15, 2013

Kursus Asas BARE Kuantan, 14 Disember 2013

Di antara luahan dan soalanara peserta di awal sesi. Kursus Asas Bacalah Anakku dan Readeasy di Kuantan:


1. Saya setuju ajar membaca Bacalah Anakku terbaik, tetapi ajar menulis memang tak boleh. Budak fonik tak boleh menulis.

2. Ajar bunyi  a i u dalam Buku 1 memang senang, tapi penat saya ajar /n/, /a/, na, budak tak dapat-dapat. /b/ ok. Kenapa pilih /n/? Susah betul!
( He he pesertani memang terbaik. Meluahkan segala isi hatinya sebagai seorang guru. )

3. Saya ajar budak Bacalah Anakku. Saya ajar bunyi tapi kenapa saya rasa macam dia hafal semua dalam buku 1 dan 2? (:0)

4. Tak boleh ke kita ajar a (ei), /a/? 

Ulasan saya untuk luahan 1:
 Daripada pengalaman saya menggunakan kaedah fonik dengan anak-anak kecil, mereka menulis dengan lebih baik. Malah banyak juga kanak-kanak fonik, yang berumur 4 tahun, menulis 'dengan sendiri', tanpa diajar menulis secara formal. Kenapa? Oleh sebab mereka diajar mengenal bunyi yang dikaitkan kepada huruf (simbol) menggunakan teknik pelbagai deria. Mereka diajar menyentuh huruf berpasir, membentuk huruf dengan doh dan menyanyi lagu aksi sebagai contoh. Mereka mudah mengingat bunyi dan mengenal bentuk dan rupa huruf.

Sekiranya kita menyuruh mereka menulis bunyi /s/, mereka akan tulis 's'. 

Yang pasti mereka tidak tahu menulis sekiranya kita menyuruh mereka menulis dengan menyebut nama huruf, sebagai contoh, "Tulis 's' (es)."

Kesimpulannya, pada tahap menulis huruf, galakkan kanak-kanak fonik menulis dengan menyebut BUNYI bukan nama huruf.

Seterusnya mereka diajar membaca sukukata dan perkataan dengan menggabung-gabung bunyi. Dengan itu sekiranya kita menyuruh mereka menulis 'si' mereka akan menulis huruf 's' dan 'i'. Mereka tidak akan keliru sebagaimana kanak-kanak yang diajar membaca dengan mengenal nama huruf dan mengeja-ngeja, yang selalu keliru samada 'si' itu 'c' atau 's' dan 'i', sebagai contoh. Banyak lagi kekeliruan kanak-kanak kaedah mengeja seperti menulis 'bi' dan 'ji'.

Untuk kanak-kanak fonik, pada tahap menulis suku kata, kita hanya perlu menyebut, "Tulis 'sa' atau 'si' atau 'su'. " sahaja. Kita boleh memudahkan menulis dengan memanjang bunyi-bunyi yang boleh dipanjangkan, sebagai contoh, /sssaaa/.  
Pada peringkat awal, kanak-kanak akan bertanya, " Ada /s/, cikgu?" Kemudian setelah mereka menulis 's' mereka  akan bertanya , "Ada /a/, cikgu?"

Setelah mereka dibiasakan menulis, kanak-kanak ini dapat menulis suku kata atau perkataan hanya dengan kita atau mereka sendiri menyebut suku kata atau perkataan tersebut.
Begitulah ' the writing journey' kanak-kanak fonik.

Bahkan mereka gemar menulis luahan hati mereka atau apa saja dengan sendiri. Banyak ibu bapa menceritakan setelah anak mereka pandai membaca dengan Bacalah Anakku, anak-anak mereka suka menulis surat cinta kepada ibu dan bapa mereka.

Di sini contoh karangan anak saya yang ke empat Amalia ketika dia berumur 5 tahun. 

Amalia mula membaca pada umur 4 1/2 tahun dan saya tidak mengajarnya menulis. Pada umur 5 tahun, semasa karangan ini ditulis, Amalia baru masuk tadika. Saya pun memang TERKEJUT sakan!

Di sini satu lagi contoh bagaimana kanak-kanak fonik menulis.

BERSAMBUNG.







Tuesday, December 10, 2013

White board, pen marker dan tulisan cantik.

Saya ditanya samada baik atau tidak kanak-kanak belajar menulis menggunakan pen marker dan white board. Saya teringat semasa menjadi cikgu dahulu, semua kelas dilengkapi papan hitam. Jarang sekali terdapat kelas dilengkapi white board. Tapi di kelas tuisyen saya ( Dulu-dulu buat tuisyen bahasa Inggeris. Kemudian Kelas Membaca) terdapat white board. Kalau dibandingkan, tulisan saya menggunakan kapur di atas papan hitam lebih cantik daripada tulisan saya di atas white board. Permukaan white board yang licin membuat saya susah untuk mengawal tulisan.

Menulis bukan kerja yang mudah untuk kanak-kanak kecil. Untuk memastikan menulis tidak membebankan kanak-kanak, penting ibu bapa dan guru memilih alat tulis yang betul. Sesetengah kanak-kanak memerlukan bantuan grip pensel  ( sarung getah lembut ) untuk dia mudah memegang pensel dengan pegangan tripod ( tripod grasp ). 

 

Pensel berbentuk segi tiga juga sesuai untuk kanak-kanak yang baru belajar menulis.

Pastikan pensel yang digunakan kanak-kanak adalah pensel 2B supaya mereka tidak penat menekan apabila menulis.

Terdapat kajian terbaru yang mengatakan krayon besar tidak sesuai untuk kanak-kanak yang sedang belajar menulis dengan betul. Menurut sesetengah occupational therapist, latihlah anak memegang pensel kecil dari awal. 

Walau bagaimanapun sekiranya aktiviti menulis adalah untuk mereka mengingat bentuk dan rupa huruf atau untuk mempelajari cara huruf ditulis atau untuk mengeja ( spelling ) atau untuk meluah perasaan, maka pelbagaikanlah cara dan alat menulis. Beri mereka peluang menulis dengan pensel, jari, berus, marker pen, krayon, kapur di atas papan hitam, papan putih, pasir, dinding batu, dinding kaca, kertas warna, kertas putih, kertas pasir dan sebagainya supaya aktiviti menulis tidak memjemukan.

 
 

Bukankah setiap hari kanak-kanak disuruh menulis?

Ada sesiapa berminat memberi anaknya peluang menulis di tingkap kaca? Dijamin menyeronokkan!